Budak 12 tahun maut dibaham buaya

LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dibaham buaya dalam kejadian di sungai Dent Heaven Kampung Tagupi, di sini pada Isnin.
Mayat kanak-kanak berusia 12 tahun itu ditemukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung sekitar jam 2 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dilihat ditarik oleh haiwan tersebut ke dalam sungai.
"Kejadian disaksikan oleh jiran mangsa yang terlihat mangsa ditarik buaya berkenaan ke dasar sungai sekitar jam 12 tengah hari.
"Mangsa kemudian ditemukan semula sekitar jam 2 petang dalam keadaan tidak bernyawa oleh ahli keluarga dan orang awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa terdapat beberapa kesan gigitan buaya tersebut.
"Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa terdapat kesan kecederaan di bahagian belakang dan kaki akibat gigitan buaya.
"Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
