Enam maut ditembak, berebut hak penjagaan anak

STADE - Seramai enam pegawai kebajikan terbunuh dalam insiden tembakan di sebuah pusat perlindungan untuk ibu dan anak di Jerman pada Isnin, lapor CNN.
Polis memaklumkan, mangsa terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Suspek dikenal pasti seorang lelaki warga Turki berusia 45 tahun yang dilahirkan di Jerman telah ditahan sejurus kejadian.
Menurut pihak berkuasa, motif serangan dipercayai berpunca daripada pertelagahan mengenai hak penjagaan anak perempuannya yang berusia tiga bulan.
Ketika kejadian, bayi perempuan itu dan ibunya yang berusia 34 tahun turut berada di lokasi.
Polis berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di bawah jagaan pejabat kebajikan belia, manakala ibunya masih dipantau pihak polis.
Dalam kejadian itu, suspek cuba melarikan diri menaiki sebuah kereta yang dipandu wanita berusia 65 tahun.
Wanita itu dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan keluarga suspek, namun berjaya diberkas selepas dikejar polis tidak lama kemudian.
Polis mengesahkan kawasan kejadian selamat dan tiada lagi ancaman terhadap orang ramai, namun orang awam diminta menjauhi lokasi bagi melancarkan siasatan.
Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier dan Canselor Jerman, Friedrich Merz, masing-masing menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta merakamkan penghargaan kepada pasukan kecemasan yang bertindak pantas mengendalikan insiden tersebut.
Ahli majlis tempatan, Carsten Brokelmann berkata, sebuah pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah rendah terletak berhampiran lokasi kejadian.
“Kami bersyukur semua kakitangan dan kanak-kanak di pusat jagaan serta sekolah rendah berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden itu berlaku di Stade, sebuah bandar bersejarah yang terletak kira-kira 45 kilometer di barat Hamburg dan mempunyai kira-kira 50,000 penduduk.
Insiden tembakan rambang jarang berlaku di Jerman kerana negara itu menguatkuasakan undang-undang pemilikan senjata api yang ketat.
Individu yang ingin memiliki senjata api perlu mendapatkan lesen dengan membuktikan mereka layak dan boleh dipercayai, mengikuti latihan serta lulus peperiksaan, selain memberikan alasan munasabah untuk memiliki senjata berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
