Daftar kahwin orang asli meningkat di Pahang

Ruslin (tiga dari kiri) menyampaikan sijil perkahwinan kepada masyarakat orang asli selepas mengadakan lawatan ke pejabat JPN Pahang hari ini.
Ruslin (tiga dari kiri) menyampaikan sijil perkahwinan kepada masyarakat orang asli selepas mengadakan lawatan ke pejabat JPN Pahang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 4,449 permohonan pendaftaran perkahwinan dalam kalangan masyarakat orang asli yang tidak beragama dan berkahwin secara adat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada jumlah itu terdapat trend peningkatan bagi pendaftaran perkahwinan membabitkan orang asli di bawah Ordinan Pendaftaran Perkahwinan 1952.

Menurutnya, dilihat sudah ada penambahan secara mendadak dari segi permohonan pendaftaran perkahwinan.

"Sehingga pertengahan tahun, kita sudah rekodkan 1,834 permohonan berdaftar daripada masyarakat orang asli.

“Peningkatan angka ini amat ketara jika dibandingkan tahun lalu sekitar 1,400.

"Kesedaran ini disebabkan mereka perlu mengemukakan sijil perkahwinan rasmi bagi mendapatkan Bantuan Sara Hidup dan bantuan lain oleh kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di JPN Pahang di Kompleks Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPN Pahang, Julizawati Kamarudin.

Ruslin berkata, pemohonan perkahwinan yang paling tinggi telah direkodkan di negeri ini ialah di daerah Pekan dan Rompin.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pada tahun ini sahaja, di daerah Pekan sudah mempunyai 507 pendaftaran telah dibuat, manakala di Rompin pula 430.

“Kalau kita tengok rekod untuk tiga tahun kebelakangan ini adalah melibatkan Pekan iaitu sekitar 1,561 dan Rompin 1,081 pendaftaran yang dibuat oleh JPN,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa) dan tok batin perlu memainkan peranan mereka dalam membantu masyarakat orang asli bagi menyelesaikan permohonan terbabit.

Katanya, JPN akan bekerjasama dengan Jakoa ke perkampungan orang asli di kawasan pendalaman bagi membantu mereka membuat permohanan tersebut.