Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet sahkan hutang negara RM1.1 trilion

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bercakap pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bercakap pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 berjumlah RM1.1 trilion.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, pecahan itu termasuk RM741 bilion hutang kerajaan Persekutuan, RM132.7 bilion membabitkan jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan, RM32.2 bilion hutang bersih 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak termasuk faedah dan liabiliti lain berjumlah RM184.9 bilion.

“Pada tahun 2011, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengeluarkan manual Public Sector Debt Statistics yang berasaskan perakaunan akruan. Manual menekankan pelaporan liabiliti yang menyeluruh, merangkumi kesemua hutang dan obligasi kerajaan.

“Pelaporan hutang dan liabiliti di bawah manual ini bukan sahaja merangkumi hutang kerajaan Persekutuan, malah liabiliti bagi entiti berkaitan kerajaan (quasi-government) dan liabiliti luar jangka meliputi pinjaman yang dijamin oleh kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman daripada Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) kepada 1MDB berjumlah RM8.9 bilion sehingga 31 Mei 2019.

“Mengambil langkah penjimatan sekiranya masalah hutang 1MDB tidak membelenggu negara dengan jumlah kira-kira RM9 bilion itu, ia boleh dilaburkan untuk sekolah dan lain-lain projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dipinjam daripada kerajaan RM4 bilion,” katanya.

Susulan itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet mengesyorkan lapan langkah kepada kerajaan untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi memperkukuhkan pengurusan dan meningkatkan ketelusan dalam hutang dan liabiliti negara.

“Antara syor yang dicadangkan ialah kedudukan hutang dan liabiliti secara terperinci dibentang secara berkala kepada Parlimen bagi memantau prestasi bayaran balik, bayaran khidmat hutang dan beban hutang yang sebenarnya.

Artikel Berkaitan:

“Memantau dari semasa ke semasa nisbah hutang dan liabiliti berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), nisbah defisit kerajaan Persekutuan berbanding KDNK serta bayaran khidmat hutang dan liabiliti berbanding hasil kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jawantankuasa ini turut dianggotai oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi.