Mahathir sanjung sokongan sebulat suara pindaan perlembagaan

Dr Mahathir bercakap pada sidang media selepas sesi menggulung perbahasaan undang-undang pindaan had umur 18 tahun untuk layak mengundi pada sidang Parlimen di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir bercakap pada sidang media selepas sesi menggulung perbahasaan undang-undang pindaan had umur 18 tahun untuk layak mengundi pada sidang Parlimen di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut baik sokongan melebihi sasaran dua pertiga ahli Dewan Rakyat dalam meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

Beliau berkata, ia adalah era baharu yang memperlihatkan tindakan kerajaan turut diberi perhatian oleh parti lawan, selain ia kali pertama di bawah kerajaan baharu suatu undang-undang itu diluluskan dengan persetujuan semua pihak.

"Memang ada yang kata kenapa tidak dari dahulu pada zaman saya jadi Perdana Menteri pun tak teringat nak turunkan umur mengundi kepada 18 tahun, sebelum daripada saya ambil alih ni juga tak berlaku.

"... tetapi kali ini ia berlaku dengan sokongan daripada semua, tiada satupun yang menolak...100 peratus daripada mereka yang hadir dan jauh lebih tinggi dari sokongan dua pertiga yang kita perlukan supaya Perlembagaan dapat dipinda," katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Parlimen, hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak pembangkang yang telah membuktikan janji mereka untuk menyokong pindaan itu.

Dr Mahathir berkata kelulusan pindaan itu, yang bersifat bipartisan adalah pencapaian untuk rakyat dalam memilih wakil rakyat mereka.

"Ia menunjukkan kematangan rakyat Malaysia kerana yang pertama apabila ada peralihan kerajaan, tidak ada rusuhan atau violence of any kind. It was a very smooth change of the government (sebarang keganasan. Ia perubahan kerajaan yang amat lancar)," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media yang sama berkata, kemenangan hari ini adalah milik anak muda yang mahukan suara mereka lebih didengari di dalam dan luar Parlimen, selain isu yang dihadapi oleh golongan itu dapat diperjuangkan dengan lebih serius.

Artikel Berkaitan:

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata: "Saya berharap bipartisanship ini akan diteruskan. Dalam politik memang kita akan berbeza pendapat tetapi ia tidak bermaksud kita bermusuhan sampai tidak boleh bekerjasama demi agenda rakyat.

"Sebab itu saya kena ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua... Alhamdulillah akhirnya kita dapat laksanakannya bersama," katanya. - Bernama