Inkues Adib: Formula Dr Shahrom lebih rasional

Dr Amir Radzi hadir memberi keterangan berhubung formula daya dalam perbicaraan inkuiri kematian Muhammad Adib.
Dr Amir Radzi hadir memberi keterangan berhubung formula daya dalam perbicaraan inkuiri kematian Muhammad Adib.
A
A
A

SHAH ALAM - Formula daya yang dikemukakan oleh Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid adalah lebih rasional bagi menentukan kecederaan yang dialami anggota jabatan bomba dan penyelamat (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pakar Fizik yang merupakan saksi ke-30 Inkues Kematian Muhammad Adib, Dr Amir Radzi Ab Ghani berkata, Dr Shahrom telah mengambil kira ketinggian dan berat badan mangsa yang mana ia boleh diguna pakai dalam mengukur impak kecederaan tersebut.

"Dari ketinggian yang digunakan iaitu empat meter, jumlah kelajuan yang diperoleh ialah 32 kilometer perjam (km/j) dan saya lihat itulah jumlah kelajuan yang sesuai dalam pelanggaran untuk datangkan kecederaan," katanya.

Dalam bidang automatif, kelajuan 30 hingga 40 km/j digunakan untuk kaji tahap kecederaan penumpang dalam pelanggaran.

"Nilai empat meter adalah rasional," katanya.

Menurutnya, formula yang dikemukakan Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi menjurus kepada pengiraan tekanan.

"Saya tidak bersetuju dalam pengiraan Dr Hafizam yang mengambil kira berat keseluruhan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dalam menentukan daya tersebut," katanya.

Beliau berkata, berat pintu EMRS yang hanya perlu dikira kerana ia adalah berasingan dengan jentera itu.

Artikel Berkaitan:

"Pintu ini disambung dengan EMRS secara 'pin jointed' dan objek 'pin jointed' boleh berpusing pada paksinya," katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) itu berkata, pada keadaan itu, EMRS dan pintu menjadi dua badan berlainan serta masing-masing mempunyai dua pusat graviti yang berlainan.

"Apabila berlaku pelanggaran, hanya berat pintu EMRS yang hentak mangsa dan daya kenderaan tidak memainkan peranan,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Radzi yang juga Ketua Pusat Kajian Fakulti turut bersetuju dengan eksperimen Dr Shahrom bahawa Muhammad Adib tidak jatuh dan terpelanting dalam kejadian itu.

“Eksprimen Dr Shahrom yang menunjukkan mangsa dilanggar pintu EMRS juga masih boleh diguna pakai walaupun dilekatkan span pada badan model.

"Ini kerana span bukan satu bahan yang dapat menyerap lebih daya ketika berlaku hentaman pintu EMRS ke atas mangsa,” katanya.

Prosiding hari ke-40 berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung petang esok.

Muhammad Adib, 24, parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari dirawat.