Bapa Adib fail permohonan komital heret Tommy ke mahkamah

A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muhammad Adib Mohd Kassim memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung punca kematian anaknya.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Mahkamah Koroner hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab kepada Koroner Rofiah Mohamad sebentar tadi.

Di luar mahkamah, peguam, Mohd Zubir ketika ditemui pemberita berkata, Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April lalu.

"Di mahkamah rayuan, dalam afidavit tersebut, Tommy menyatakan bahawa kematian Muhammad Adib bukanlah dipukul oleh mana-mana orang," katanya.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar salinan notis permohonan tersebut kepada wakil Tommy, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin jam 12.11 hari ini.

Dalam dokumen permohonan yang dihantar oleh individu yang tidak dikenali kepada Sinar Harian, Mohd Kassim mendakwa Tommy dalam kapasitinya sebagai Peguam Negara telah secara salah mengambil pendirian dan membuat keputusan pra-matang bagi pihak Jabatan Peguam Negara mengenai punca dan sebab kematian Muhammad Adib.

Menurutnya, Tommy juga didakwa telah campur tangan salah dalam pelaksanaan keadilan (‘unlawful interference in the cause of justice’).

Ekoran campur tangan salah itu, Tommy didakwa telah menyebabkan prosiding inkues kematian Muhammad Adib tertangguh, sekaligus melengahkan keadilan daripada dicapai.

Mohd Kassim,64, juga mendakwa Tommy menindas peguam Syazlin Mansor daripada melakukan tugasannya sebagai Peguambela dan Peguamcara dan pegawai Mahkamah yang sah mewakili kepentingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JPBM dan keluarga Muhammad Adib.

Pada 15 April lalu, Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pemerhati dalam inkuri tersebut setelah Tommy menyatakan kecederaan dialami Muhammad Adib bukanlah dipukul pada perenggan ke-5 dan 6 afidavit tersebut.

Muhammad Adib,24, parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia