Bekas tentera didakwa bunuh isteri

Seorang bekas tentera, Mahat Jalil, 56, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas pertuduhan membunuh isterinya pada 3 Julai lalu.
Seorang bekas tentera, Mahat Jalil, 56, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas pertuduhan membunuh isterinya pada 3 Julai lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya pada 3 Julai lalu.

Pertuduhan terhadap tertuduh, Mahat Jalil, 56, dibacakan di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, selain lelaki itu hanya meluahkan kata-kata 'saya sayang isteri saya'.

Tertuduh didakwa membunuh isterinya Samnah Mohamed, 55, pada jam 10.22 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Duyong Fasa Dua pada 3 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Najwa Nazari memohon tarikh untuk laporan forensik dan tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri memandangkan lelaki tersebut mempunyai rekod perubatan membabitkan masalah mental.

Shu Yee kemudian menetapkan tarikh 14 Ogos untuk serahan laporan forensik dan sebutan semula kes. Beliau turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Sinar Harian pada 3 Julai lalu, melaporkan seorang suri rumah maut ditikam dengan pisau pemotong sayur oleh suaminya selepas dipercayai bertengkar di kediaman mereka di Taman Seri Duyong Fasa Dua.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 10.22 pagi itu, mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang berlumuran darah bersebelahan suspek yang turut cedera selepas cuba menikam diri sendiri di kawasan garaj rumah mereka.

Semakan polis sebelum ini mendapati bekas tentera itu pernah mendapatkan rawatan psikiatri dan ditahan pada Jun lalu atas kesalahan jenayah curi serta dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah maut ditikam suami selepas bertengkar