Hasrat beli 67 kereta lelong terkubur

Gambar hiasan. Gambar kecil: Noorzainy
Gambar hiasan. Gambar kecil: Noorzainy
A
A
A
KEPALA BATAS - Hasrat tiga beradik termasuk seorang bekas kakitangan kerajaan untuk memiliki 67 buah kenderaan pada harga murah lebur apabila ditipu seorang wanita semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga beradik itu mengalami kerugian sebanyak RM27,300 kerana ditipu wanita yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, mangsa yang kesemuanya lelaki dan berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu dikatakan berminat membeli kesemua kenderaan pelbagai jenis yang bakal dilelong JPJ pada harga ditetapkan.

"Atas ajakan adiknya, mereka telah menghubungi seorang wanita yang mengaku kononnya pegawai JPJ dan dia merupakan pegawai yang menguruskan lelongan dalam jabatan tersebut.

"Wanita itu mendakwa, terdapat kira-kira 90 buah kenderaan pelbagai jenis bakal dilelong pada Julai ini dan ia merupakan kenderaan yang mempunyai pelbagai kesalahan," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, mangsa bertambah yakin dengan wanita tersebut apabila dia mengemukakan beberapa dokumen serta gambar kenderaan terbabit yang dilelong melalui aplikasi WhatsApp.

"Apabila mangsa menyatakan berminat untuk membeli kenderaan yang ditunjukkan, dia digesa membuat pembayaran bagi tujuan tempahan segera sebelum proses lelongan dijalankan.

"Tanpa mengesyaki sesuatu, mangsa bersetuju mengambil 67 buah kereta daripada keseluruhan kenderaan yang dilelong dengan pelbagai tawaran harga. Mangsa diarahkan untuk memasukkan wang ke dalam akaun peribadi yang diberikan wanita tersebut," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa telah melakukan sembilan transaksi bermula 23 hingga 25 Jun lalu dengan jumlah keseluruhan RM27,300.
Artikel Berkaitan:


"Wanita tersebut berjanji semua proses untuk mendapatkan kenderaan tersebut akan selesai pada 27 Jun lalu, namun hingga kini tiada maklum balas darinya, malah dia gagal dihubungi.

"Mangsa berasa tertipu telah membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut. Orang ramai sepatutnya selidik terlebih dahulu dan berhati-hati sebelum ambil tindakan yang drastik. Dapatkan kepastian dengan menghubungi pihak yang bertanggungjawab untuk kesahihan agar tidak tersalah langkah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.