Kutipan zakat fitrah Melaka meningkat

Adly menjawab soalan Idris ketika Persidangan DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri di Ayer Keroh hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka mencatatkan peningkatan positif bagi kutipan zakat fitrah pada tahun ini dengan jumlah RM4.46 juta berbanding RM3.92 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 13.5 peratus menerusi dua kaedah pembayaran berdasarkan jenis beras yang digunakan penduduk di negeri ini iaitu 88.53 peratus beras super tempatan dan 11.47 peratus beras super import dan basmati.

Menurutnya, pihaknya menerusi Zakat Melaka mengambil kira jenis beras digunakan majoriti rakyat Melaka sebagai kayu pengukur dalam penetapan dua kadar zakat berbeza itu yang mula diperkenalkan di negeri ini pada tahun ini.

"Peratusan ini dibuat oleh Badan Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani cawangan Melaka.

"Dengan adanya dua kaedah yang dilaksanakan ini dapat menggalakkan umat Islam membayar zakat mengikut beras dimakan supaya amalan lebih sempurna dan tepat sekali gus menambah amalan sedekah jariah," katanya.

Adly (Amanah-Bukit Katil) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Sungai Udang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri di Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu, Idris bertanyakan soalan bagaimana kerajaan negeri menentukan indeks seperti beras sebagai bayaran zakat fitrah.