UMNO tak akan pecat Nazri, Khairy: Annuar

Annuar Musa. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Annuar Musa. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan mengenakan sebarang tindakan disiplin kepada Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilihat ‘keras’ mengkritik parti kerana melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya menganggap kritikan Nazri dan Khairy Jamaluddin hanya sekadar pandangan peribadi malah, katanya, tidak ada salahnya ahli UMNO untuk mengemukakan pandangan.

“Pilihan raya lambat lagi, dan saya rasa kenyataan Nazri lebih kasar berbanding Khairy, tapi pada pandangan saya ia hanya kenyataan peribadi, pendapat sendiri mungkin kalau tanya orang lain, mereka akan beri pandangan berbeza.

“Jadi saya dah buat keputusan tidak ada salahnya ahli UMNO ekspresi pandangan mereka. Tak ada kes disiplin, bagi pandangan bukan perkara disiplin. Tak tahu siapa yang bangkitkan soal pecat memecat, cabar mencabar mungkin media tanya soalan bentuk macam itu, tapi dari segi kita (UMNO) tak bangkit langsung,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menjelaskan jawatan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN tidak ada dalam Perlembagaan UMNO ia lebih kepada hal pentadbiran untuk nasihatkan parti.

Malah beliau berkata, tidak wajar Nazri mendakwa Najib berhasrat menjadi Pengerusi BN kerana beliau tidak menjadi ketua parti-parti komponen.

“Saya fikir perkara ini dah dibincangkan terlajak daripada isu sebenar, ahli-ahli tak perlu bawa terlalu jauh. Mari kita hormati pandangan ahli-ahli untuk zahirkan pandangan mereka,” ujarnya Annuar.

Artikel Berkaitan: