Masalah pencerobohan nelayan Vietnam

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

ISU pencerobohan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam dilaporkan berlaku hampir setiap hari di media massa. Kebanyakan kes dikesan di Pantai Timur khususnya di Terengganu. Bot nelayan asing itu sengaja memasuki perairan Malaysia mencuri hasil laut untuk dibawa pulang ke negara mereka.

Perairan Pantai Timur Malaysia di Laut China Selatan meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang iaitu sekitar 121,398 kilometer persegi dengan jarak pantai 574 kilometer bermula dari Pantai Tok Bali di Kelantan sehingga ke Endau, Rompin di Pahang.

Berdasarkan statistik Maritim Malaysia, lebih 533 bot nelayan Vietnam menceroboh perairan negara ini dan 32 daripadanya dikenakan tindakan mengikut Akta Perikanan 1985 dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM32 juta.

Ini bukanlah isu baru buat Malaysia tetapi menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini. Periuk nasi nelayan tempatan terjejas. Hasil jualan nelayan berkurangan, malah menyebabkan taraf ekonomi mereka semakin merosot.Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pencerobohan nelayan asing dari negara jiran terutamanya dari Vietnam menyebabkan negara kerugian RM6 bilion (AS$1.45 bilion).

Bagi menangani masalah itu, kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan turut disertai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar serta tujuh agensi penguatkuasaan.

Walaupun Vietnam sudah mendapat amaran daripada Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu berkenaan sejak September 2017 namun nelayan negara itu tetap berdegil dan terus menceroboh perairan Malaysia.

Nelayan asing yang ditahan didakwa di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta bagi pemilik dan tekong bot manakala denda RM100,000 bagi awak-awak atau penjara tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Tindakan dan hukuman yang dikenakan terhadap mereka terlibat mungkin tidak terlalu berat. Justeru, cadangan kerajaan untuk merombak serta memperbaiki akta sedia ada berkenaan perikanan bagi memperkenalkan undang-undang yang lebih berat amatlah dialu-alukan.

Artikel Berkaitan:

Langkah ini perlu bagi melindungi hasil laut, ekonomi nelayan tempatan dan juga kedaulatan negara.