Suspek sebabkan kebakaran empat rumah ditahan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun kerana disyaki menyebabkan kebakaran yang memusnahkan empat buah rumah di Kampung Bukit Kuda, di sini semalam.

Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki berkenaan ditahan pada kira-kira jam 5 pagi tadi di taman permainan kanak-kanak berhampiran Stadium Kota Raja Klang.

"Siasatan awal kami mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan samun, suspek turut dipercayai mempunyai masalah gangguan mental," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Nurulhuda, suspek kini direman selama lima hari untuk membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Suspek dipercayai memberitahu jiran untuk membakar rumahnya beberapa hari sebelum kejadian.

Empat sekeluarga termasuk seorang bayi berusia lima bulan nyaris terkorban dalam kebakaran yang memusnahkan empat buah rumah dalam kejadian pada kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada tayar yang dibakar oleh suspek di hadapan rumahnya di Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda sebelum ia merebak ke rumah bersebelahan.

Dua buah rumah lagi yang dilaporkan terbakar tidak berpenghuni. - Bernama

Artikel Berkaitan: