Pencemaran Pasir Gudang, penduduk lapor polis

Mohd Rafee (tiga, kanan) bersama sebahagian penduduk yang menyokong tuntutan dibuat BBPIPA pada sidang media hari ini.
Mohd Rafee (tiga, kanan) bersama sebahagian penduduk yang menyokong tuntutan dibuat BBPIPA pada sidang media hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Penduduk di Pasir Gudang yang terkesan akibat dua siri pencemaran udara membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA), Mohd Rafee Abdullah yang mewakili 110 penduduk Taman Pasir Putih, Taman Kota Masai dan Taman Tanjung Puteri Resort berkata, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya menuntut ketelusan pihak terbabit mengendalikan isu pencemaran termasuk memastikan tiada perlindungan kepada mana-mana kilang yang bertanggungjawab.

Mohd Rafee ketika bercakap kepada media di sini, hari ini.
Mohd Rafee ketika bercakap kepada media di sini, hari ini.

"Daripada kenyataan kerajaan, kami dapati mungkin terdapat pelaksanaan tugas yang kurang sempurna hingga menyebabkan insiden pencemaran berlaku di Pasir Gudang.

"Perkara ini tidak akan berlaku kali kedua jika pemantauan dijalankan dengan betul. Kita anggap pemantauan, pelaksanaan itu memang tiada sebab untuk berlaku kali kedua," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mohd Rafee berkata, siasatan perlu dijalankan bagi memastikan tiada unsur ugutan atau rasuah terhadap penguat kuasa yang menjalankan tugas.

Katanya, kedudukan peruntukan pembersihan Sungai Kim Kim sebanyak RM6.4 juta perlu diwartakan kepada umum bagi mengelakkan spekulasi.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh soal 110 mangsa yang berdaftar di bawah BBPIPA, Mohd Rafee mendakwa sehingga kini tiada seorang pun menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak sejak insiden Mac lalu.

"Memang tak ada, malah ada yang terjejas dua kali sejak pencemaran Sungai Kim Kim dan kali kedua bulan lalu. Bukan sahaja bantuan, datang jumpa kami pun tak ada.

"Penyampaian maklumat pun sampai sekarang kita rasa macam ada yang disembunyikan. Kalau anak pengsan di sekolah pun, sekolah akan telefon ibu bapa untuk ambil. Bila ditanya, katanya SOP (prosedur operasi standard). Sampai bila nak begitu?," soalnya.