Mohon kerajaan bantu rawat Irfan Wafiy di luar negara

Aminolhuda (kanan) melihat sendiri keadaan Irfan sambil ditemani Idham dan Norlela di SK Taman Bukit Dahlia, hari ini.
Aminolhuda (kanan) melihat sendiri keadaan Irfan sambil ditemani Idham dan Norlela di SK Taman Bukit Dahlia, hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - [VIDEO] Bapa kepada pesakit Myokimia, Irfan Wafiy Idham Wazir yang dipercayai kesan pencemaran Sungai Kim Kim Mac lalu memohon kerajaan mempertimbangkan anaknya mendapatkan rawatan di luar negara.

Idham Wazir A.Wahab, 49 berkata anak lelakinya itu hanya bergantung kepada ubat sawan kerana tiada rawatan sesuai di negara ini.

"Saya mohon kerajaan bantu rawatan Irfan di luar negara sebab tak ada rawatan untuk penyakit ini di Malaysia.

"Mungkin kena carilah rawatan di luar di negara yang ada kes-kes pencemaran sebab pakar sendiri cakap mereka tidak ada pengalaman dengan penyakit ini. Kes pertama di Malaysia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Taman Bukit Dahlia, di sini hari ini.

Sebelumnya, Idham dan isterinya, Norlela Abu Hashim, 45 menemani Irfan ketika menerima kunjungan Exco Pendidikan, Aminolhuda Hassan di sekolah.

Mengulas lanjut, Idham yang berhenti kerja April lalu demi menumpukan kepada rawatan anaknya itu berkata sebarang rawatan perlu menanti sehingga anak keempatnya itu selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September ini.

"Saya tak nak kacau pelajaran dia jadi nak hantar rawatan kena tunggu lepas habis UPSR.

"Sekarang Irfan bergantung kepada ubat sawan yang menyebabkan dia mengantuk jadi saya hanya bagi pada waktu malam. Kalau bagi siang dia akan tidur saja, tak boleh belajar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Idham bersama Norlela menghantar Irfan ke sekolah.
Idham bersama Norlela menghantar Irfan ke sekolah.

Bekas jurutera ini turut menyatakan penghargaan atas usaha kerajaan negeri mewujudkan tabung bagi menampung kos rawatan anaknya itu.

"Saya hargai usaha kerajaan negeri kerana kalau nak mendapatkan rawatan di luar negara saya tak boleh tanggung sendiri.

"Rawatan dalam negara saya boleh tanggung lagi. Boleh dikatakan saya perlu jaga dia 24 jam, hantar ke HKL (Hospital Kuala Lumpur), rawatan alternatif, makanan tambahan," katanya.

Irfan yang berkerusi roda jelas kelihatan menahan sakit susulan kakinya terus bergetar dengan agak kuat.

Difahamkan Irfan mengalami kekejangan pada betis setiap kali berjalan agak jauh seperti menaiki tangga ke kelasnya.

Malah kedua belah betisnya itu tidak boleh disentuh kerana akan menyebabkan pelajar darjah enam itu kesakitan.

ARTIKEL BERKAITAN: Irfan Wafiy positif Myokymia kerana toksik