SPRM sahkan siasat kes individu berprofil tinggi di Sarawak

Latheefa Koya. - FOTO ZAHID IZZANI
Latheefa Koya. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan terdapat kes melibatkan individu berprofil tinggi di Sarawak.

Memetik laporan sebuah portal berita, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran kes itu kerana siasatan sedang dijalankan.

"Apa-apa kes yang sedang berlaku, kita tidak boleh memberikan butiran kerana ia akan menjejaskan siasatan," katanya ketika ditemui pada malam pembukaan teater muzik Semarak Pertiwiku di Institut Pendidikan Guru semalam.

Ditanya mengenai jumlah kes yang melibatkan personaliti tinggi Sarawak itu, Latheefa berkata, beliau tidak dapat mendedahkan apa-apa butiran kerana kes itu sedang dijalankan.

Beliau menambah, SPRM memerlukan masa untuk mengesahkan semua kenyataan awam dan dokumen yang diterima dan sebaik dakwaan itu disahkan, kertas siasatan akan dibuka.

Minggu lalu, pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor menjelaskan, SPRM Sarawak sudah menyerahkan maklumat terkini mengenai individu berprofil tinggi yang didakwa terbabit dengan amalan rasuah kepada Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Beliau mengakui pihaknya menerima banyak maklumat berhubung ‘jerung’ itu, namun ia adalah maklumat atau dakwaan berulang.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mendedahkan sebarang nama ‘jerung’ yang terlibat kerana siasatan sedang berjalan.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen sebelum itu berkata, sejak tahun lalu beliau sudah mendesak SPRM untuk menyiasat pembabitan individu berprofil tinggi di Sarawak dalam amalan rasuah.