Cherating terima 30,294 telur penyu

Aktiviti pelepasan penyu oleh pelbagai pihak membantu meningkatkan pendaratan reptilia itu di PKKP Cherating. (gambar kecil: Azahari)
Aktiviti pelepasan penyu oleh pelbagai pihak membantu meningkatkan pendaratan reptilia itu di PKKP Cherating. (gambar kecil: Azahari)
A
A
A

KUANTAN - Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating menerima sebanyak 30,294 telur penyu jenis agar membabitkan 339 pendaratan dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, jumlah paling tinggi direkodkan pada Mei lalu iaitu sebanyak 10,985 diikuti Jun (10,859), April (6,078), Mac (1,650), Februari (422) dan Januari (300).

"Pendaratan tertinggi penyu agar pula berlalu pada bulan lalu iaitu sekitar 124 diikuti Mei 122, April (67), Mac (18), Februari (5) dan Janauri (3). Peningkatan pendaratan reptilia ini berlaku disebabkan beberapa faktor seperti musim bertelur dan pasang surut air laut.

“Jadi faktor ini kita dapat ukur menerusi data yang direkodkan setiap kali reptilia itu bertelur dan membuat pendaratan di pantai di sini dan kita juga berjaya menetaskan kira-kira 8,282 telur di pusat penetasan khas dalam tempoh enam bulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, malah aktiviti pelepasan anak penyu dilakukan secara berperingkat di kawasan pantai Cherating berhampiran PKPP kakitangan PKPP dan pelancong.

“Kalau ikutkan pada bulan lalu sebanyak 5,726 telur berjaya ditetaskan diikuti Mei (1,844), April (595) dan Mac (117). Pada Januari dan Februari usaha menetaskan telur gagal dilakukan disebabkan faktor cuaca serta suhu,” katanya.

Dalam pada itu, Azahari berkata, pihaknya turut menjangkakan jumlah pendaratan penyu di kawasan rizab Pantai Cherating akan bertambah hingga akhir tahun ini.

"Ini kerana terdapat beberapa faktor mempengaruhi pendaratan pada musim bertelur dan pasang surut air laut.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sepanjang tahun lalu PKPP mencatat pendaratan 147 penyu agar yang menghasilkan sebanyak 12,683 telur, sebanyak 7,836 telur berjaya ditetaskan di pusat penetasan khas.

Menurutnya, jumlah pendaratan penyu tertinggi dalam tempoh lapan tahun dicatat pada 2016 iaitu 592 pendaratan dengan menghasilkan 53,112 telur dan sebanyak 31,652 berjaya ditetaskan mengikut jadual.

"Beberapa tahun kebelakangan ini hanya penyu agar mendarat di beberapa kawasan pantai di negeri ini, penyu karah dan belimbing sudah lama tidak kelihatan.

“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar," katanya.

Justeru, katanya, aktiviti pelepasan anak penyu oleh pelancong, murid sekolah dan individu lebih banyak dapat dilakukan sekiranya jumlah penyu yang mendarat di PKPP meningkat.