Penolakan minoriti bukan ukuran: Najib

Orang ramai yang hadir tidak putus-putus bergambar bersama Najib pada program Santai Petang bersama Bossku di Kuala Nerang, hari ini.
Orang ramai yang hadir tidak putus-putus bergambar bersama Najib pada program Santai Petang bersama Bossku di Kuala Nerang, hari ini.
A
A
A

KUALA NERANG - Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoal tindakan segelintir pemimpin mahupun ahli parti itu yang menolak pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), selain menyifatkan ia perkara biasa dalam parti politik.

Menurut beliau, penolakan golongan minoriti tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya harus melihat kepada sumbangan individu terutama selepas kekalahan PRU14.

“Selama setahun ini, siapa selalu buat teguran kepada kerajaan PH? Siapa berani suarakan pendapat dan teguran? Adakah mereka atau pihak lain? Siapa turun ke peringkat bawah gerakkan sokongan kepada UMNO?

"Ini ukuran yang harus kita lihat, bukan pendapat satu dua pihak sahaja,” katanya, pada sidang media, selepas program Santai Petang bersama Bossku di Kuala Nerang, hari ini.

Najib berkata, agak sukar untuk memperoleh sokongan daripada semua pihak, namun keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam dewan tertinggi parti.

“Itu mekanisme penentuan yang diputuskan parti, yang penting apa yang kita boleh sumbang kepada parti,” katanya.

Menurutnya, perbezaan pendapat bukan bererti wujud perpecahan dalam parti, asalkan ia ditangani sebaik mungkin dengan mengutamakan perjuangan parti.

Najib berkata, faktor kekalahan BN pada PRU14 bukan terletak pada bahunya semata-mata, sebaliknya terdapat banyak faktor lain.

Artikel Berkaitan:

“Kita harus lihat ke depan apa yang patut kita lakukan selepas kalah. Daripada kekalahan itu, kita boleh belajar banyak berbanding kemenangan, dan bangkit dengan kekuatan baru,” katanya.

Secara sinis, katanya, jika itu dijadikan ukuran, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sudah lama meletakkan jawatan atas kekalahan parti itu pada PRU.

Najib turut mengulangi pendirian beliau yang mahu ahli parti itu menerima kepulangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali menerajui UMNO.

“Memang wajar Ahmad Zahid kembali sebagai presiden kerana dari segi perlembagaan, mandat beliau adalah selama tiga tahun. Beliau bercuti pun atas keputusan peribadi, dan kes ini tak perlu rujuk kepada majlis tertinggi parti,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin kemasukan semula Ahmad Zahid aka mengukuhkan semula kepimpinan UMNO dan terus berjuang sebagai parti pembangkang.

“Kita akan terus menegur kerajaan PH dalam menyampaikan permasalahan rakyat serta cadangan bernas. Jika ada yang tak setuju, ia perkara biasa, dalam pertandingan pun ada sokong ada tidak. Keputusan majoriti harus diterima,” katanya.

Najib turut menolak cadangan sekiranya ada yang mahu diadakan pemilihan semula bagi melantik kepimpinan parti.

“Tak wajar dan ia tidak perlu, kita hanya perlu patuh pada perlembagaan parti,” katanya.