Sivarasa lawat daerah miskin di Kelantan

Sivarasa (kiri) bersama Anuar pada sidang media selepas merasmikan Hari Potensi Kemas Negeri Kelantan di Padang Perdana hari ini.
Sivarasa (kiri) bersama Anuar pada sidang media selepas merasmikan Hari Potensi Kemas Negeri Kelantan di Padang Perdana hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Isu pembasmian kemiskinan daerah pedalaman akan menjadi fokus utama lawatan empat hari Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa yang bermula hari ini.

Beliau berkata, antara isu yang akan diberi tumpuan ialah berkaitan kemudahan prasarana dan bekalan air terawat untuk penduduk pedalaman.

Menurutnya, empat daerah iaitu Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat akan menjadi lokasi pilihan lawatannya kerana kawasan itu tersenarai dalam 28 daerah termiskin di negara ini.

“Saya terkejut kerana tujuh daripada 28 kawasan termiskin di negara ini adalah di Kelantan. Jadi dalam lawatan ini empat kawasan saya akan turun padang untuk bertemu pemimpin akar umbi bagi memahami permasalahan mereka.

“Kemudian saya akan ke Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (Inspek) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok untuk memberi taklimat berkaitan isu ini.

“Pada Isnin nanti saya akan bertemu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah untuk berbincang isu ini dan bagaimana Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) boleh bantu mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Potensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan di Padang Perdana, Kota Bharu hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Kemas, Abdul Kahar Abdullah dan Pengarah Kemas Kelantan, Anuar Mat Zain.

Sivarasa berkata, secara umumnya prasarana di daerah miskin itu masih memerlukan penambahbaikan tidak termasuk masalah air yang terjadi di bandar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagai sebuah negara yang membangun, masalah bekalan air terawat tidak sepatutnya timbul dalam memberi kemudahan asas kepada penduduk di pedalaman.

“Kalau dahulu air tandak yang digunakan mungkin bersih tetapi kini pelbagai isu timbul dan menyebabkan bekalan air bersih mereka terjejas.

“Satu lagi isu ialah masalah jalan yang menjadi laluan pengangkutan penduduk. Saya akan bincang isu ini dengan pemimpin negeri dan bagaimana kita boleh bantu mereka sekali gus bantu meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penambahan Tabika Transit Kemas, Sivarasa berkata, tahun ini sebanyak 50 Tabika Transit ditambah menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 77 buah.

Menurutnya, Tabika Transit yang menyasarkan lokasi bandar dan pinggir bandar mendapat permintaan tinggi ibu bapa yang bekerja kerana ia menawarkan yuran lebih rendah daripada RM50 hingga RM250 bergantung kepada bilangan murid.

"Tahun lalu, kita ada 27 Tabika Transit dan pada masa ini, 50 lagi Tabika Transit tambahan sedang dan hampir siap dibina pada tahun ini.

"Dengan adanya 77 Tabika Transit di seluruh Malaysia termasuk 10 di Kelantan, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ibu bapa yang bekerja yang tidak perlu berkejar mengambil anak semasa dan selepas waktu bekerja," katanya.