Pesawat Air Canada mendarat cemas di Hawaii

Gambar Hiasan
A
A

MONTREAL - Penumpang sebuah pesawat Air Canada berdepan detik cemas apabila berdepan masalah pergolakan udara dalam perjalanan ke Australia semalam dan terpaksa membuat pendaratan cemas.

Menurut kenyataan Air Canada, penerbangan AC33 membawa 269 penumpang dan 15 anak kapal dari Vancouver ke Sydney mengalami masalah terbabit kira-kira dua jam selepas melepasi Hawaii dan terpaksa berpatah ke Honolulu.

Pesawat Boeing 777-200 itu mendarat pada jam 6.45 pagi (waktu tempatan) dan kira-kira 35 penumpang dikatakan mengalami kecederaan ringan.

"Kami semua tercampak dan terkena bumbung dan semuanya terjatuh," kata seorang penumpang, Jess Smith kepada stesen televisyen tempatan, KHON.

Jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dipetik oleh syarikat penyiaran Kanada, CBC sebagai berkata, insiden terbabit berlaku pada ketinggian 36,000 kaki (10,973 meter) kira-kira 966 kilometer barat daya Honolulu.

Air Canada dilaporkan menguruskan hotel dan makanan untuk penumpang di Honolulu dan berusaha menyambung penerbangan. - AFP