Nasib nelayan kecil Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini, Merak sempat turun ke sebuah perkampungan nelayan di selatan tanah air untuk melihat pemandangan di kawasan tersebut.

Dalam pada sibuk menikmati tiupan bayu laut dan menghayati deruan ombak, Merak sempat berbual dengan beberapa orang nelayan yang berada di sana.

Sambil-sambil itu Merak cuba mengorek permasalahan yang mereka hadapi sepanjang bergelar nelayan.

Setakat yang kita tahu, mereka ini biasanya mengalami kurang hasil tangkapan akibat masalah cuaca yang tidak menentu.

Rupa-rupanya tidak... nelayan hari ini sebenarnya berdepan dengan pelbagai masalah.

Salah satu daripadanya adalah kehilangan peralatan menangkap ikan seperti bot, enjin dan jaring.

Apabila berlaku perkara seperti itu mereka akan kehilangan pendapatan berbulan-bulan lamanya.

Malah, mereka juga terpaksa menanggung bebanan hutang kerana peralatan yang dibeli biasanya diperoleh melalui pinjaman bank.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka juga berdepan dengan pencemaran alam sekitar yang menyebabkan hasil tangkapan semakin berkurangan dari masa ke masa.

Situasi itu biasanya berlaku dalam kalangan nelayan pantai dan mereka adalah golongan yang paling teruk terjejas kerana radius golongan itu menangkap ikan adalah terhad.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga berdepan dengan ancaman nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Biarpun laut itu luas, namun pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil laut negara dengan rakus tetap juga menjejaskan pendapatan mereka.

Bagaimanapun, mereka tetap tabah mengharungi satu demi satu dugaan yang dihadapi.

Malah, mereka masih mampu tersenyum dan terus gagah turun ke laut biarpun tahu nasib mereka tidak sama setiap hari.