61 buruh warga asing ditahan

Warga asing yang ditahan dalam Operasi Tapak di sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur semalam. Foto: Facebook DBKL
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 61 orang buruh warga asing yang bekerja di tapak pembinaan sekitar Jalan Pudu di sini ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menerusi Operasi Tapak yang dilaksanakan bersama beberapa agensi semalam.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan, operasi bersepadu itu dijalankan susulan terdapat kerja-kerja atau aktiviti di tapak pembinaan yang tidak mematuhi syarat kelulusan perintah pembangunan DBKL.

Menurutnya, semua warga asing yang ditahan Imigresen itu terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Pakistan dan India berikutan melanggar Akta Imigresen 1959/1963.

"Menerusi operasi ini juga, DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun di bawah kesalahan Seksyen 80, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

"Mana-mana pihak yang didapati bersalah di bawah akta ini boleh disabitkan kesalahan denda tidak lebih RM1,000," katanya.

Selain Imigresen, operasi bersepadu itu turut disertai beberapa agensi lain antaranya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kenyataan itu turut memaklumkan, Dosh dan Bomba mengeluarkan satu notis kesalahan kepada pihak terlibat mengikut bidang kuasa masing-masing.

"Operasi ini akan diteruskan bagi memastikan Kuala Lumpur bebas daripada pekerja tanpa permit serta bagi memastikan keselamatan di tempat kerja khususnya tapak pembinaan," kata kenyataan itu.