Rayani Air sedia bayar balik tiket penumpang

Rayani Air akan membuat pembayaran balik kepada pelanggan yang telah membeli tiket secara tunai secara berperingkat.
A
A

KOTA BHARU - Syarikat penerbangan Rayani Air Sdn Bhd akan membuat pembayaran balik kepada pelanggan yang telah membeli tiket secara tunai secara berperingkat.

Perkara tersebut dimaklumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Ravi Alagendran dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, untuk tujuan tersebut, pelanggan Rayani Air diminta untuk menghantar maklumat kepada pihak syarikatnya melalui emel, [email protected] bagi memudahkan urusan itu dilakukan.

"Antara maklumat yang diperlukan ialah nama penumpang, sektor penerbangan, tarikh dan masa penerbangan, nombor penerbangan, harga tiket, salinan tiket (sebagai bukti) dan nombor akaun bank (serta nama pemegang akaun untuk tujuan pembayaran secara atas talian).

"Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada anda atas sokongan kepada Rayani Air selama ini. Sekali lagi kami ingin memohon kemaafan di atas kekhilafan dan kekurangan selama kami cuba memberikan perkhidmatan terbaik kepada anda.

"Pihak pengurusan akan membuat semakan ke atas maklumat yang anda berikan dengan rekod jualan tunai syarikat sebelum bayaran balik dibuat," katanya.

Rayani Air merupakan sebuah syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan memulakan operasi pada Disember 2015.

Bagaimanapun, pada 9 April 2016, Ravi membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta.

Pada Jun tahun yang sama, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air kerana didapati melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia