Pasangan suami isteri saman klinik kesuburan

Anni dan Ashot Manukyan memfailkan saman bagi satu kes yang digambarkan sebagai insiden paling teruk melibatkan prosedur IVF sehingga menyebabkan seorang wanita asing melahirkan anak lelaki mereka.
Anni dan Ashot Manukyan memfailkan saman bagi satu kes yang digambarkan sebagai insiden paling teruk melibatkan prosedur IVF sehingga menyebabkan seorang wanita asing melahirkan anak lelaki mereka.
A
A
A

LOS ANGELES - Sepasang suami isteri di California, Amerika Syarikat memfailkan saman bagi satu kes yang digambarkan sebagai insiden paling teruk melibatkan prosedur persenyawaan luar rahim atau in-vitro (IVF) sehingga menyebabkan seorang wanita asing melahirkan anak lelaki mereka.

Anni dan Ashot Manukyan dari Glendale berkata, embrio mereka serta pasangan lain tidak dikendali dengan betul oleh Pusat Kesuburan CHA.

Akibatnya, seorang wanita asing tidak dikenali di New York melahirkan anak mereka pada Mac selepas dua embrio mereka dan pasangan lain tersilap dimasukkan ke dalam rahim.

Wanita New York, berketurunan Korea-Amerika, sepatutnya melahirkan anak perempuan kembar tetapi mendapat dua bayi lelaki.

Pasangan Manukyan memberitahu pemberita semalam mereka tidak menyedari mempunyai seorang lagi anak lelaki sehinggalah klinik menghubungi untuk mendapatkan DNA agar dapat menentukan sama ada anak yang dilahirkan pasangan dari New York itu adalah milik mereka.

Pasangan Manukyan berkata, selepas proses undang-undang yang lama, mereka akhirnya mendapat hak penjagaan anak pada Mei ketika bayi itu berusia enam minggu.

“CHA meletakkan tiga keluarga dalam neraka dan kehidupan kami tidak akan sama,” kata Ashot Manukyan kepada wartawan.

“Kami berjuang untuk mendapatkan anak lelaki kami, dan sekarang kami akan berjuang untuk memastikan ini tidak akan berlaku lagi.”

Artikel Berkaitan:

Identiti pasangan ketiga belum didedahkan.

Adam Wolf, seorang peguam yang mewakili pasangan Manukyan memberitahu AFP insiden itu adalah 'salah satu tragedi pusat kesuburan paling buruk yang pernah saya lihat.'

“Pusat kesuburan itu meletakkan Anni dan Ashot dalam kedudukan paling teruk yang boleh dibayangkan.

“Embrio mereka dipindahkan kepada orang asing dan kemudian embrio pasangan yang tidak dikenali dipindahkan kepada Anni," katanya.

Pasangan dari New York terbabit juga memfailkan saman. – AFP