Helah nelayan asing menyamar guna bot tempatan gagal

Bot nelayan asing ditahan selepas dikesan menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut. (Gambar kecil: V Pannir Selvan)
Bot nelayan asing ditahan selepas dikesan menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut. (Gambar kecil: V Pannir Selvan)
A
A
A

KUANTAN - Sebuah bot nelayan Vietnam ditahan selepas dikesan menceroboh dan menangkap ikan dalam kawasan perairan negara kira-kira 57 batu nautika utara Pulau Tioman, pagi semalam.

Bot asing yang menyamar sebagai bot nelayan tempatan itu ditahan jam 7 pagi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Gayang sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.

Timbalan Pengarah Maritim Negeri Pahang (Operasi), Kepten Maritim V Pannir Selvan berkata, pencerobohan bot nelayan asing itu dikesan ketika kapal TLDM itu sedang melaksanakan eksesais di perairan Pahang.

Menurutnya, krew kapal berkenaan mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan lalu bertindak mengejar dan menahannya untuk pemeriksaan sebelum salah satu daripadanya ditahan dan sebuah lagi berjaya melarikan diri.

"Siasatan didapati bot berkenaan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan (palsu) bagi mengelabui mata pihak berkuasa.

"Hasil penahanan bot bersama tekong dan tujuh awak-awak berusia 18 hinga 50 tahun itu, kita berjaya menemui dan merampas hasil tangkapan dianggarkan seberat hampir 100 kilogram," katanya.

Beliau berkata, hasil laut itu dipercayai diperoleh dalam perairan negara dan akan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga yang lebih tinggi.

"Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan mencecah hampir RM 1 Juta.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua nelayan asing dan bot yang ditahan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMMuntuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan negara tanpa kebenaran," katanya.

V Pannir berkata, jika disabitkan kesalahan tekong bot berdepan hukuman denda tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun manakala awak-awak boleh dikenakan denda tidak lebih RM100, 000 setiap seorang atau penjara tidak lebih dua tahun.

Menurutnya, sehingga semalam, APMM Pahang melakukan 566 pemeriksaan dan 47 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan.