Kakak berhenti sekolah, adik jual jajan bantu sara keluarga

Kanak-kanak berusia 12 tahun ini menjaja makanan ringan di sekitar pasar raya di Bandar Rawang. - Foto: LZS
Kanak-kanak berusia 12 tahun ini menjaja makanan ringan di sekitar pasar raya di Bandar Rawang. - Foto: LZS
A
A
A

RAWANG - Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menjaja makanan ringan selepas balik dari sekolah hingga lewat malam di sekitar pasar raya dekat Bandar Rawang bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor dan Operasi Agihan Zakat Daerah Hulu Selangor mengesahkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu dan tiga adik-beradik lain tinggal bersama ibu mereka yang menghidap tekanan jiwa.

Menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui kenyataan di laman Facebook agensi tersebut, kakak sulung daripada empat beradik berusia 16 tahun terpaksa berhenti sekolah bagi menguruskan keperluan di rumah keluarga berkenaan.

Menurutnya, SSU Zakat Selangor menerima aduan awam mengenai kanak-kanak terbabit yang dilihat menjaja makanan ringan di sekitar kawasan pasar raya.

Nasib keluarga ini mendapat perhatian LZS termasuk menguruskan bantuan bulanan dan pendidikan. - Foto: LZS
Nasib keluarga ini mendapat perhatian LZS termasuk menguruskan bantuan bulanan dan pendidikan. - Foto: LZS

"Tindakan segera diambil SSU Zakat Selangor dan Operasi Agihan Zakat Daerah Hulu Selangor yang turun ke kawasan tersebut.

"Skuad berjaya menemui anak ini dan siasatan dijalankan terus ke rumahnya. Anak ini terpaksa mencari sumber kewangan bagi menampung keperluan keluarga.

"Kanak-kanak ini akan mula menjaja makanan ringan selepas pulang dari sekolah sesi pagi dan berniaga sehingga lewat malam. Mereka menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM400 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Zakat Selangor akan menguruskan bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa rumah, pendidikan dan keperluan lain bagi memastikan keluarga ini dapat hidup selesa serta terjamin," katanya.

LZS turut menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 kepada keluarga tersebut untuk perbelanjaan sementara waktu.