Cengkaman junta tentera belum berakhir

Tentera masih diberi kuasa untuk melakukan serbuan dan menahan suspek selama tujuh hari.
Tentera masih diberi kuasa untuk melakukan serbuan dan menahan suspek selama tujuh hari.
A
A
A

BANGKOK - Kerajaan awam baharu Thailand masih mengekalkan 'pemerintahan ala tentera' walaupun junta mengumumkan ia melonggarkan cengkaman ketika di bawah era pentadbiran mereka.

Kerajaan masih mengekalkan lebih 100 perintah termasuk kuasa untuk melakukan serbuan dan menahan suspek selama tujuh hari.

"Ini adalah undang-undang tentera yang digunakan ketika krisis kecemasan. Kita sudah adakan pilihan raya dan bakal bentuk kerajaan baharu.

Jadi kenapa masih perlu guna undang-undang itu?" soal kumpulan pemerhati undang-undang iLaw, Anon Chalawan.

Prayut dalam satu kenyataan mempertahankan keputusannya melonggarkan kuasa tentera yang didakwa sebagai langkah menyelesaikan masalah.

Semalam, bekas ketua tentera itu mengarahkan pemerintahan junta ditamatkan mereka sebelum kerajaan awam baharu mengangkat sumpah, namun mengekalkan kuasa utama tentera atas alasan keselamatan negara.

"Saya tidak lagi akan menggunakan Artikel 44. Kerajaan baharu akan dibentuk pada pertengahan bulan ini," katanya yang akan menamatkan sekatan ke atas media selain memindahkan kes orang awam dari mahkamah tentera ke mahkamah awam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-ngam berkata, beberapa perintah junta perlu dikekalkan, namun Parlimen boleh mengubahnya.

Artikel Berkaitan:

Prayut bakal dilantik sebagai perdana menteri awam selepas beliau dipilih senator yang dilantik tentera dan Ahli Parlimen yang dipilih dalam pemilihan sebelum ini. Pakatan yang menyokong Prayut yang terdiri daripada 19 parti meraih majoriti kecil di Dewan Perwakilan.

Difahamkan, junta telah melonggarkan sekatan secara berperingkat sejak tahun lalu. - Agensi