Rompak bersenjata: Pemandu e-hailing dijel 24 tahun

Pemandu e-hailing dipenjara 24 tahun 4 bulan dan sembilan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas sembilan pertuduhan melakukan samun bersenjata antara Mei hingga Jun lalu.
Pemandu e-hailing dipenjara 24 tahun 4 bulan dan sembilan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas sembilan pertuduhan melakukan samun bersenjata antara Mei hingga Jun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas sembilan pertuduhan melakukan samun bersenjata antara Mei hingga Jun lalu.

Mohd Rozaini Roslan, 30, yang menetap di Kampung Tengah Felda Neram 1, Kemaman, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjata menggunakan pisau dan parang di Kedai RM10 & RM12 Taman Tas, Farmasi Reich Beserah, Butik Peach Collection Taman Tas, Pusat Pakaian Hari Hari dan My Health Klinik Impian.

Bagi rompakan bersenjata menggunakan rantai besi dan batang besi dilakukan di Poliklinik Makmur Sungai Karang, Kedai Kasut U Indera Mahkota, dan Kedai Runcit Jaya Balok.

Kesalahan yang boleh menyebabkan maut dan ketakutan kepada mangsa dilakukan tertuduh pada 18 Mei sehingga 22 Jun 2019 yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM10,214.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan lain, Mohd Rozaini juga turut didakwa melakukan samun ke atas seorang mangsa berusia 22 tahun dan telah merampas wang tunai berjumlah RM550.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum empat tahun dan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Wahidah Zainal Abidin yang mengharapkan agar mahkamah memberi hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran kepada masyarakat dan tertuduh.

"Walaupun tiada rekod lampau dan mengaku salah namun mahkamah sewajarnya menjatuhkan hukuman pada setiap pertuduhan secara berasingan kerana kes ini mampu mendatangkan ketakutan dan trauma pada mangsa.

Bagaimanapun, Mohd Rozaini yang tidak diwakili peguam merayu supaya denda dapat dikurangkan kerana hanya berpendapatan RM1200 sebulan dan mempunyai tanggungan isteri dan seorang anaknya.

"Saya lakukan ini semua kerana terpaksa disebabkan saya perlu membayar hutang ah long (pinjaman wang haram) dengan kadar segera kerana diugut untuk pegang keluarga saya.

"Saya berharap hukuman penjara dapat dikurangkan supaya saya dapat menjaga ibu mertua di samping isteri saya yang sedang mengandung tujuh bulan dan anak sulung saya yang berusia 8 tahun," katanya.

Dasuki kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun 4 bulan dan sembilan sebatan kepada tertuduh dan turut menasihatkan tertuduh supaya berubah dan menginsafi perbuatan mereka ketika menjalani hukuman di penjara.

"Walaupun mempunyai masalah tetapi itu bukan caranya malah cara tersebut telah mendatangkan keburukan kepada awak malah mangsa.

"Saya berharap agar hukuman ini dijadikan pengajaran untuk diri kami dan orang awam supaya kesalahan ini tidak berulang lagi," katanya.