'Jangan sampai kerana paus seekor, satu lautan kita keringkan'

Dr Mohamad Khir Toyo
A
A

HULU SELANGOR - "Jangan sampai kerana paus seekor, satu lautan kita keringkan," demikian kata Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berhubung cadangan PH untuk mencantumkan tanah Felda menjadi ladang besar dan diurus syarikat kroni.

Beliau berkata, kaedah tersebut akan berakhir dengan peneroka Felda menjadi peserta yang pasif dalam pengurusan estet berkenaan selain pendapatan tidak akan berkembang mengikut keupayaan maksima dan hanya sekadar memperoleh pendapatan tetap.

"Syarikat pengurusan pula akan jadi tidak lebih dari orang tengah yang menghisap darah dan keringat peneroka. Lihatlah apa yg terjadi dengan dasar penswastaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), pengurusan air dan pengurusan sisa pepejal negara.

"Awalnya kos pengurusan rendah tapi selepas 20 tahun semuanya meningkat di luar kawalan. Kita sebagai rakyat dipaksa menanggungnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ada pihak yang menganggap PH orang pintar dengan membawa pulang gaji ratusan ribu sebulan namun rakyat yang akan menanggung dengan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Anehnya mereka ini bila berhenti, tidak pula jadi rebutan oleh syarikat antarabangsa. Kita tidak mahu peneroka Felda menerima nasib yang sama seperti kita hari ini menanggung gaji ratusan ribu pihak pengurusan. Tetapi tiada suatu pun yang luar biasa dilakukan selain menaikkan bil bulanan rakyat.

"Eloklah Menteri Ekonomi memikirkan bagaimana untuk mengupayakan peneroka Felda dan menerapkan pengetahuan mereka dalam pengurusan berkesan ladang tanpa ada orang tengah," katanya.

Mohamad Khir berkata, peneroka perlu dididik melibat diri dalam pertanian bersepadu dan pelbagaikan punca pendapatan seperti konsep Satu Felda Satu Produk Pertanian selain kelapa sawit.

Menurutnya, idea tersebut mungkin lapuk namun memberi banyak manfaat jika diberi nafas, pendekatan dan kualiti pengurusan baharu.

"Peneroka Felda mesti berfikir penuh teliti sebelum setuju dengan kerajaan PH yang lebih mirip mentadbir negara seperti sebuah syarikat korporat besar.

"Bagi mereka, pulangan ringgit dan sen itu segalanya tetapi selalunya dalam jangka waktu yang singkat. Mana ada syarikat konglomerat mampu bertahan lama," katanya.

Dalam pada itu beliau mengemukakan beberapa cadangan bagi mengekal dan meningkatkan pendapatan 112,635 peneroka Felda.

"Antaranya meningkatkan keberkesanan pengurusan di samping meminimumkan kos pengurusan. Tingkatkan hasil pengeluaran per hektar dan kualiti hasil pengeluaran.

"Menstabilkan harga kelapa sawit di tahap munasabah sepanjang tahun dan mempelbagaikan sumber pendapatan dengan kaedah penggunaan tanah secara maksima," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Penggabungan ladang Felda beri manfaat pada peneroka: PM

Cantum tanah: Kerajaan, peneroka laksana sesi libat urus


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia