X

Kindly register in order to view this article
!

13 iklan haram diroboh sepanjang lebuh raya kawasan Nilai

Teo Kok Seong semasa meninjau kerja-kerja merobohkan papan iklan haram di Lebuh Raya Plus Arah Selatan berdekatan Bukit Mahkota, Nilai, hari ini.
A
A

NILAI - Majlis Perbandaran Nilai (MPN) hari ini merobohkan 13 papan iklan luar (billboard) haram di sepanjang lebuh raya PLUS dalam kawasan Nilai.

Kerja-kerja merobohkan membabitkan lebih 30 anggota penguatkuasa MPN, PDRM, Pihak Berkuasa Tempatan PBT dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baharu Negeri, Teo Kok Seong berkata, pembinaan papan iklan secara haram ini, menyebabkan (PBT) kehilangan hasil sekurang-kurangnya RM500,000 setiap tahun.

Disebabkan itu juga, MPN kerugian disebabkan pembinaan paparan iklan luar (billboard) haram, yang dibina sepanjang Lebuh Raya Plus (arah Selatan) di bawah jajaran MPN.

"PBT mengalami kerugian hasil daripada tiga sumber iaitu di bahagian pelesenan, cukai tafsiran dan permit apabila pengusaha membina papan iklan luar secara haram tanpa sebarang permohonan.

"Kerajaan negeri sangat komited untuk membasmi papan iklan luar (billboard) haram ini, bukan sahaja ia merugikan hasil PBT sebaliknya ia soal keselamatan awam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Bersepadu Kerja-kerja Perobohan Papan Iklan Haram Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan kawasan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) di Nilai, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPN, Datuk Zazali Salehudin.

Kok Seong berkata, dua bulan lalu pihaknya sudah memberi notis kepada pengusaha billboard haram ini, bagaimanapun ia seakan-akan tiada tindakan daripada mereka.

"Jadi hari ini, kita jalankan penguatkuasaan merobohkannya di kawasan MPN.

"Sebanyak 456 kompaun yang bernilai RM171,750 telah dikeluarkan oleh MPN, tetapi hanya 36 pengusaha sahaja yang menjelaskan kompaun mereka bernilai RM13,250,” katanya.

Tambahnya, setiap pengusaha dijangka memperoleh keuntungan melebihi RM10,000 sebulan, tetapi mereka ini tidak membayar untuk lesen iklan kepada PBT.

Katanya, sebelum ini MPN telah membuat pemantauan, di mana sebanyak 429 unit billboard haram telah dikesan di sepanjang Lebuh Raya PLUS dalam kawasan Nilai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!