Dana Gamelan RM5 juta galak promosi pelancongan negara

Mohamaddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar pengumuman Gamelan di Matic, Kuala Lumpur hari ini.
Mohamaddin (dua dari kiri) pada sidang akhbar pengumuman Gamelan di Matic, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggiat industri pelancongan tempatan akan mendapat akses kepada dana Galakan Melancong Malaysia (Gamelan) berjumlah RM5 juta bagi menyokong usaha mempromosikan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, dana itu adalah peruntukan khas daripada Kementerian Kewangan manakala Tourism Malaysia dilantik sebagai agensi pelaksana.

"Dana ini bertujuan membantu sektor-sektor swasta yang terlibat dalam pelancongan untuk memperhebat usaha promosi dan pemasaran mereka ke arah meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia di samping merancakkan pelancongan domestik.

"Geran Sepadan ini berbentuk bantuan peruntukan secara pengembalian kewangan. Syarikat-syarikat dalam industri pelancongan yang berkelayakan boleh menuntut sebanyak 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut had maksimum yang telah ditetapkan bagi setiap kategori projek," katanya pada sidang akhbar di majlis pengumuman Gamelan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Menurut beliau, setiap penerima geran akan diberikan siling peruntukan sebanyak RM200,000 bagi memastikan pengagihan geran adalah adil dan saksama.

"Mana-mana pihak yang telah menggunakan sepenuhnya siling peruntukan untuk pelbagai projek mereka tidak akan dipertimbangkan lagi.

"Projek-projek yang layak untuk pengembalian kewangan terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu penyertaan di dalam pameran pelancongan, penganjuran misi jualan dan jerayawara serta program 'servicing' dan promosi Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE). Terdapat jumlah maksimum untuk bayaran balik bagi setiap projek atau kategori," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang layak memohon dana tersebut termasuklah persatuan pelancongan berdaftar atau diiktiraf di Malaysia; agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; pengusaha penginapan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan persatuan membeli-belah yang berdaftar/diiktiraf di Malaysia.

Lain-lain ialah pengusaha komuniti berasaskan pelancongan berdaftar/diiktiraf di Malaysia; persatuan/kelab yang mempromosikan produk minat khas; dan syarikat-syarikat yang menyediakan program-program ‘servicing’ atau mempromosikan MICE di dalam dan luar negara.

Maklumat lanjut dan syarat-syarat permohonan dana boleh didapati di laman web www.tourism.gov.my.