Tujuh suspek kes samun di Kota Kinabalu ditahan

A
A

KOTA KINABALU - Polis berjaya menyelesaikan lima kes samun dilaporkan berlaku di daerah ini dengan tertangkapnya tujuh suspek terdiri tiga lelaki dan empat wanita pada 3 Julai lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kesemua mereka yang berusia 17 hingga 31 tahun ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Taman Sri Gayang, Tuaran pada jam 1 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu beberapa barangan yang disamun dan parang digunakan suspek untuk melakukan perbuatan samun turut dirampas.

"Setakat ini, lima kes samun dikenal pasti dilakukan oleh suspek ini yang berlaku di ibu negeri dan kawasan berhampiran di Inanam dan Menggatal.

"Modus operandi kumpulan penjenayah ini adalah menggunakan parang untuk menakutkan dan menyamun mangsa. Sasaran mereka adalah hotel bajet, pusat urut dan refleksologi dan kediaman," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya, dua lelaki dan dua wanita yang ditahan itu juga didapati positif dadah.

Katanya, polis kini masih memburu dua lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas dikenali sebagai Mohd Sahab, 26, dan Mohd Nazar Khan, 31.

Omar berkata, salah satu kes samun dilakukan kumpulan itu membabitkan kes samun di sebuah hotel di Bandaran Berjaya di ibu negeri pada jam 4.30 pagi, 29 Jun lepas.

Katanya dalam kejadian itu, tiga suspek lelaki menyamun pekerja di kaunter hotel itu selepas berpura-pura bertanyakan bilik kosong dan melarikan sebuah telefon bimbit dan dompet tangan milik rakan pekerja itu.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia