Penganjur Don’t Let Usman Awang Know biadab

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) menyifatkan penganjur Don’t Let Usman Awang Know yang menyiarkan poster pementasan teater itu tanpa menggunakan Bahasa Melayu sebagai janggal, biadab dan tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, pihaknya membantah tindakan penganjur yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dan menggunakan bahasa Cina dan bahasa Inggeris dalam poster tersebut.

"Penggunaan nama Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dalam poster acara ini tanpa menggunakan bahasa Melayu sangat janggal, biadap, tidak boleh diterima dan tidak menghormati Bahasa Kebangsaan.

"Usman Awang semasa hayatnya adalah seorang pejuang Bahasa Melayu sungguhpun begitu beliau menghormati bahasa-bahasa lain di Malaysiam," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pementasan drama “Don’t Let Usman Awang Know” yang akan berlangsung di Klpac pada 11 Julai ini hingga 14 Julai ini memaparkan tujuh karya yang diinspirasikan oleh Sasterawan Negara itu dan digarap oleh tujuh orang pengarah.

Tajuk pementasan drama tersebut ialah Guru Oh Guru, Calling 1969, Almari: Perjuangan, Trapped, Udara, Pisang Goreng dan Kekasih.

Pementasan anjuran Muka Space dan Yayasan Hasanah itu melibatkan Penerbit Eksekutif, Datuk Dr Faridah Merican, Pengarah Artistik, Joe Hasham dan Penerbit, Easee Gan. Ia diadakan sempena ulang tahun kelahiran Usman yang ke-90.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit drama dibidas tak hormat perjuangan Usman Awang

Artikel Berkaitan:

Radzuan berkata, pihaknya meminta supaya penganjur pementasan itu menggantikan poster tersebut segera dengan menggunakan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

"Pemuisi juga mengingatkan bahawa penggunaan Bahasa Melayu dalam acara-acara rasmi, apatah lagi melibatkan Sasterawan Negara adalah wajib dilaksanakan bagi menghormati bahasa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

"Sehubungan dengan itu, jika ada sebarang tindakan untuk mengabaikan dan merendahkan bahasa kebangsaan, Pemuisi akan bangkit menentang sekeras-kerasnya dan akan terus bersuara dan berusaha agar bahasa kebangsaan akan berada di tempat yang sepatutnya," ujar beliau.