PSG sedia lepaskan Neymar

Neymar gagal melaporkan diri dalam sesi latihan PSG.
Neymar gagal melaporkan diri dalam sesi latihan PSG.
A
A
A

PARIS Saint Germain (PSG) sedia melepaskan Neymar sekiranya ada tawaran sesuai daripada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Pengarah Sukan PSG, Leonardo berkata, buat masa ini tiada tawaran yang dikemukakan mana-mana kelab sekali gus menepis spekulasi Barcelona sedang cuba memancing pemain Brazil itu.

"Neymar boleh meninggalkan PSG jika ada tawaran menarik. Tetapi sehingga waktu ini, kami tidak tahu jika ada kelab yang mahu membelinya dan berapa harga yang ditawarkan.

"Memang jelas kepada semua pihak bahawa Neymar sudah menyatakan hasrat mahu meninggalkan PSG. Dalam bola sepak keputusan sentiasa berubah. Hari ini kenyataan lain,esok pula kenyataan mungkin berbeza.

"Kami perlu menunggu tawaran daripada kelab yang mahukan khidmatnya, barulah kami boleh memberikan kenyataan. Lagipun Neymar masih mempunyai kontrak tiga tahun dengan PSG," katanya.

Masa depan Neymar di kelab gergasi Liga Perancis itu kelihatan samar dengan kenyataan daripada pemain itu sendiri yang dilaporkan mahu kembali ke Barcelona selain Real Madrid juga berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Menurut Leonardo, PSG rela melepaskan Neymar selepas melihat sikap pemain itu yang sudah tidak mahu bersama kelab dan berkemungkinan tidak akan memberikan komitmen tinggi dalam pasukan.

Malah, Neymar juga tidak menghadiri latihan walaupun perlu melaporkan diri hari ini.

Artikel Berkaitan:

"PSG akan hanya mempertahankan pemain yang mahu kekal dan membina masa depan di kelab. Neymar juga sepatutnya melapor diri dalam sesi latihan hari ini tetapi tidak hadir.

"Kami akan menilai tindakan yang boleh diambil kepadanya. Cuti yang kami tetapkan kepadanya adalah sehingga 8 Julai sahaja," katanya.