Kes Najib: SRC, gandingan mentari tak pernah buat laporan kerugian

Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Datuk Suboh Md. Yassin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan berkenaan dengan penyelewengan dana yang dilalukan oleh Datuk Seri Najib Razak di syarikat SRC International. FOTO SINAR HARIAN:ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah tinggi di sini bahawa SRC International Sdn Bhd mahu pun subsidiarinya, Gandingan Mentari, tidak membuat laporan berhubung dana dicuri daripada akaun syarikat.

Saksi pendakwaan ke-42 itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram pada hari ke-33 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Sithambaram: Daripada apa yang kami tunjukkan kepada anda, transaksi antara 2014 dan 2015 dan melibatkan ratusan juta ringgit. Adakah SRC International atau Gandingan Mentari membuat sebarang laporan mengenai dana dicuri daripada akaun?

Suboh menjawab: "tidak."

Sithambaram: Adakah anda tahu sama ada SRC atau Gandingan Mentari mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bank di atas pemindahan yang salah?

Suboh: Tidak setahu saya.

Sithambaram: Dari semua bentuk transaksi yang ditunjukkan kepada anda, adakah anda nampak apa-apa wang yang masuk ke akaun Nik Faisal Ariff Kamil?

Suboh: Tidak

Sithambaram: Ada dana masuk ke akaun anda?

Suboh: Tidak

Kepada soalan lain, Suboh berkata kemasukan Artikel 117 ke dalam artikel SRC International berhubung pelantikan penasihat emeritus mengubah syarikat itu.

"SRC International bukan lagi syarikat biasa selepas artikel itu dimasukkan. Kemasukan Artikel 117 itu mengubah kedudukan. Artikel itu...anda perlu, untuk beroperasi, mendapatkan arahan daripada siapa sahaja yang duduk di sana.

Sithambaram: Siapa penasihat emeritus ini?

Suboh: Beliau Perdana Menteri ketika itu.

Sithambaram: Dan untuk rekod, siapa perdana menteri ketika itu?

Suboh: Datuk Seri Najib.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia