Enam kaki judi nombor ekor dicekup

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Razmi)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Razmi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Enam kaki judi termasuk seorang warga emas dicekup ketika 'ralit' menghadap telefon bimbit masing-masing dalam serbuan di kawasan perindustrian Chendering, di sini, semalam.

Kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 61 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, kira-kira jam 5.50 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat dan hasil intipan serta risikan berkaitan kegiatan judi nombor ekor di kawasan berkenaan.

"Difahamkan kumpulan kaki judi ini memilih salah sebuah premis di kawasan perindustrian terbabit sebagai 'port' untuk menjalankan urusniaga jual beli nombor ekor.

"Semasa serbuan dilakukan, masing-masing yang sedang asyik mengadap telefon bimbit agak terkejut dan tergamam sejurus menyedari kehadiran kami.

"Malah ada dalam kalangan mereka cuba melarikan diri mengelak diri dicekup tetapi gagal kerana seluruh kawasan sudah dikepung sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Razmi berkata, siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan kaki judi nombor ekor hari ini ialah dengan menempah nombor dikehendaki melalui mesej atau WhatsApp kepada pihak berkenaan.

"Selepas itu, bagi mendapatkan nombor tersebut mereka perlu menunggu di lokasi terpilih yang dijanjikan berbanding sebelum ini terpaksa pergi ke kedai untuk berurusan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka terpaksa menggunakan cara sedemikian kerana hari ini semua kedai nombor ekor yang tidak berlesen di negeri ini sudah diarahkan tutup," katanya.

Razmi berkata, kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, Razmi berkata, pihaknya turut meminta kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti perjudian di kawasan masing-masing bagi mengekang aktiviti berkenaan.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dalam apa jua jenis kegiatan perjudian supaya ia dapat dihapuskan sehingga ke akar umbi.