Enam beranak nyaris maut kereta terjunam dalam parit

Perodua Myvi yang dinaiki enam beranak terbabas dan kemudian terjunam ke dalam parit di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kampung Lubok Jong.
Perodua Myvi yang dinaiki enam beranak terbabas dan kemudian terjunam ke dalam parit di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kampung Lubok Jong.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Enam beranak nyaris menemui ajal apabila kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kampung Lubok Jong, dekat sini malam tadi.

Difahamkan kejadian jam 9 malam itu berlaku ketika mangsa, Aziz Mohd Noor, 41, dan isteri, Nur Asida Mohd Badrudin, 37, serta empat anak dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kampung Gual Sitok, dekat sini dari Kuala Lumpur.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II Adnan Muhd Juri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 malam.

Katanya, sepasukan anggota bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa.

“Sejurus tiba, mangsa sudah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk menerima rawatan oleh orang ramai.

"Bagaimanapun, kereta milik mangsa masih lagi terjunam ke dalam parit sedalam dua meter," katanya.

Menurutnya, bomba difahamkan pemandu kenderaan itu telah bertindak pantas dengan menyelamatkan isteri dan anak- anak sejurus air mula memasuki kereta mereka.

Katanya, bomba kemudian telah bertindak mencabut bateri kereta bagi mengelak berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bapa Nur Asida, Mohd Badrudin Mat Daud, 65, berkata, kereta yang dipandu menantunya cuba memotong sebuah kereta Proton Wira, namun dikejutkan dengan kerja-kerja pembaikan laluan tersebut.

Katanya, tindakan brek mengejut itu telah menyebabkan kenderaan yang dipandu menantunya terbabas lalu terjunam ke dalam parit.

“Alhamdulillah tak ada kecederaan teruk menimpa anak dan cucu saya.

"Mereka ada maklumkan bahawa jalan di kawasan itu agak gelap selain tiada papan tanda memaklumkan kawasan itu dalam proses pembaikan jalan," katanya.