29 maut nahas bas di lebuh raya India

29 orang maut nahas bas dua tingkat di Lebuh raya Yamuna di Agra, India awal pagi tadi. - Foto Siraj Qureshi
29 orang maut nahas bas dua tingkat di Lebuh raya Yamuna di Agra, India awal pagi tadi. - Foto Siraj Qureshi
A
A
A

AGRA - Sekurang-kurangnya 29 orang maut dalam nahas membabitkan sebuah bas di salah satu lebuh raya paling sibuk di India awal pagi ini.

Menurut polis, pemandu bas dipercayai tertidur sebelum bas dua tingkat terbabit melanggar pembahagi jalan lalu terjatuh ke dalam jurang antara dua jejambat di Lebuh raya Yamuna dari Delhi ke Agra.

Bas terbabit membawa kira-kira 50 penumpang dari New Delhi ke Lucknow, di negeri Uttar Pradesh ketika kejadian berlaku pada kira-kira jam 4.15 pagi (waktu tempatan).

Polis berkata, bas terbabit terjatuh lebih 12 meter ke dalam sungai di bawah lebuh raya menyebabkan bahagian atasnya hancur dan air sungai menyukarkan operasi menyelamat.

"29 orang maut manakala 18 yang lain cedera," kata Majistret daerah Agra, N.G. Ravi Kumar di lokasi kejadian.

Menurut pihak berkuasa, Lebuh raya Yamuna sepanjang 165 kilometer dari Delhi ke Agra itu merupakan lebuh raya enam lorong terpanjang di India dan kira-kira 900 orang telah terbunuh di lebuh raya terbabit sejak ia dibuka pada tahun 2012. - AFP

Artikel Berkaitan: