Bantah kenaikan kos sara hidup, penunjuk perasaan bakar bangunan di Perancis

Sekurang-kurangnya 1,200 individu ditahan dalam kejadian protes kenaikan kos sara hidup di Perancis. FOTO/ AFP.
Sekurang-kurangnya 1,200 individu ditahan dalam kejadian protes kenaikan kos sara hidup di Perancis. FOTO/ AFP.
A
A
A

PARIS - Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan terhadap penunjuk perasaan di bandar raya Paris, Lyon dan Strasbourg di Perancis.

Ia susulan kumpulan tersebut membantah kenaikan kos sara hidup di seluruh negara, kata Kementerian Dalam Negeri.

Di Marseille, penunjuk perasaan cuba menceroboh balai polis dan deretan kedai.

Sekurang-kurangnya 1,200 individu ditahan dalam kejadian itu.

Ada antaranya didakwa membawa senjata dan barangan larangan lain ketika demonstrasi.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada malam sebelumnya menggesa orang ramai agar mengadakan perhimpunan secara aman.

Kementerian Dalam Negeri merekodkan 140 aksi bantahan di seluruh negara menjelang tengah hari, yang membabitkan 32,800 peserta.

Kementerian itu turut memaklumkan seramai 166 orang ditahan di seluruh negara setakat ini.

Sehingga 170,000 penunjuk perasaan dijangka berhimpun di seluruh Perancis, dengan antara 30,000 hingga 60,000 daripadanya berkumpul di Paris sahaja.

Artikel Berkaitan:

Perarakan dirancang di Paris dan kebanyakan bandar lain pada awal tengah hari Sabtu.

"Terdapat pergerakan secara meluas oleh kumpulan radikal berhaluan kiri yang ingin mencetuskan kekacauan.

"Serangan ganas secara bersasar oleh individu bertopeng dikesan terutamanya di Paris, Marseille, Rennes, Toulouse dan Angers," kata kementerian dalam kenyataan pada Sabtu.

Kementerian itu turut melaporkan percubaan menjarah, pembakaran di kawasan awam serta serangan bersasar ke atas pihak berkuasa dan media.

Dianggarkan 100 individu bertopeng menyekat laluan masuk ke saluran televisyen haluan kanan CNews di Paris.

Bangunan berkenaan turut menempatkan stesen radio Europe 1.

Pelajar sekolah dan universiti turut merancang untuk menyertai hari bantahan berkenaan.

Kesemuanya melakukan demonstrasi selama beberapa minggu bagi menuntut kemudahan pembelajaran dan kelengkapan sekolah yang lebih baik. - Agensi 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!