X

Kindly register in order to view this article
!

Dua juragan langgar syarat sah lesen bot ditahan

A
A

SEMPORNA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam menahan dua juragan bot tempatan kerana melanggar syarat sah lesen bot iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda dalam lesen, di Pulau Mataking dekat sini.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, dua lelaki masing-masing berusia 32 dan 42 tahun itu ditahan pada jam 4 petang ketika sedang mengendalikan bot penumpang menuju ke Jeti Pelancong di sini.

"Kedua-duanya disyaki melakukan kesalahan yang ditetapkan di bawah peraturan pelesenan bot penumpang dalam Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua juragan serta dua bot penumpang dibawa ke Jeti Pelancong sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Semporna untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Norrimi berkata pemilik dan pengusaha bot bertanggungjawab memastikan semua bot selamat dinaiki penumpang termasuk memastikan laporan pertukaran juragan pada lesen.

“Penahanan ini merupakan kes ke lapan direkodkan oleh Maritim Semporna setakat tempoh lima bulan pertama pada tahun ini," katanya.

Sementara itu, menurutnya APMM Semporna akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Semporna.

Katanya, orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999. - Bernama