Tambak laut: Kerajaan Pusat belum muktamadkan keputusan

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan belum membuat sebarang keputusan berhubung projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata pihaknya kini masih menunggu laporan dan maklum balas daripada beberapa pihak berkaitan berhubung cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membina tiga pulau buatan dalam projek tambakan laut di kawasan berkenaan.

"Itu saya telah ambil maklum dalam mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang saya hadiri kurang dua bulan yang lalu, kita telah mendengar pandangan semua pihak termasuk Persatuan Alam Sekitar turut diberikan peluang untuk membentang laporan mereka dalam mesyuarat itu.

"Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kita sedang menunggu laporan-laporan daripada semua pihak yang berkaitan, nanti barulah kerajaan akan membuat keputusan.

“Tetapi saya ingin beritahu bahawa kepentingan nelayan dan kepentingan semua pihak akan diambil kira oleh kerajaan sebelum kita membuat apa-apa keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-34 Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) di sini hari ini.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung rayuan persatuan nelayan Pulau Pinang agar kerajaan persekutuan menimbang semula projek tambakan laut bagi tujuan pembangunan di negeri ini dengan mengambil kira impak besar yang bakal dihadapi oleh golongan nelayan.

Sebelum ini, MPFN dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju dengan pelaksanaan tambakan laut itu dan meminta kerajaan negeri mematuhi 18 nasihat ditetapkan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan projek mega tambakan laut seluas lebih 1,800 hektar di Permatang Damar Laut. Projek bernilai RM46 bilion yang bertujuan membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pengumuman kerajaan negeri itu mengundang keresahan golongan nelayan dan dilaporkan bakal menjejaskan nasib lebih 1,500 nelayan tradisional di kawasan berkenaan.

Sementara Pengerusi PEN Mutiara, Nazri Ahmad yang turut hadir pada majlis itu berkata nelayan di Pulau Pinang tetap dengan pendirian mereka dan membantah sekeras-kerasnya projek tambakan laut tersebut.

"Kita juga gesa kerajaan supaya mengambil kira suara dan nasib nelayan sebelum membuat sebarang keputusan bagi projek ini," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: JAS lulus PSR dengan 72 syarat