Keluarga Irfan Wafiy fail saman RM5 juta

Kamarudin (duduk, tengah) bersama mangsa yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu, bergambar bersama pada sidang media berkenaan hari ini.
Kamarudin (duduk, tengah) bersama mangsa yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu, bergambar bersama pada sidang media berkenaan hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Keluarga seorang mangsa yang menghidap myokymia dipercayai akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu akan menfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru pada 17 Julai ini.

Mangsa berkenaan adalah Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang didakwa tidak pernah mengalami penyakit berkenaan sebelum kejadian insiden pembuangan bahan kimia di sungai berkenaan.

Peguamnya, Kamarudin Ahmad berkata, saman yang difailkan adalah melibatkan tuntutan ganti rugi atas keadaan kesihatan dialami murid darjah enam itu bernilai RM5 juta.

“Kita ada laporan pakar perubatan yang telah melakukan pemeriksaan electromyographic (EMG) ke atas Irfan. Keputusan ini juga menunjukkan Irfan menghidap myokymia.

“Pakar perubatan juga percaya keadaan myokymia Irfan ini adalah berpunca akibat terdedah kepada kimia toksik semasa insiden Sungai Kim Kim,” katanya pada sidang media di Kompleks Pasir Gudang di sini hari ini.

Kamarudin berkata, pihaknya juga mempunyai laporan terdapat kandungan toksik dikesan di sungai berkenaan juga boleh menjadi pencetus kepada masalah kesihatan dialami Irfan.

“Antara kimia toksik terlibat dengan Sungai Kim Kim adalah akronitril, acrolein, sianida, methane, xlene, ethylbenzene dan hidogen klorida. Selain itu, terdapat juga kimia toulene yang mana ada kemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyakit myokymia ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, pihaknya juga akan membantu 160 mangsa terdiri daripada pelajar, orang awam dan nelayan untuk menfailkan saman kerana didakwa terkesan atas insiden pencemaran itu.

Artikel Berkaitan:

“Saman ini ditujukan kepada 11 defendan antaranya kerajaan negeri, Menteri Besar Johor, Menteri Alam Sekitar dan pihak beberapa agensi bertanggungjawab manakala di pihak plaintif pula melibatkan dua kumpulan.

“Plaintif pertama adalah kumpulan pelajar dan orang awam seramai 40 individu dan kumpulan kedua adalah 120 nelayan atas alasan mata pencarian mereka terjejas kerana insiden ini,” katanya.

Terdahulu, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim bermula pada 7 Mac lalu, menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga menyebabkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang diarahkan tutup buat sementara.

Keseluruhannya, 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai itu dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor dilantik kerajaan.