Semai akhlak nilai murni belia

A
A
A

SAYA mengucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta semua ahli Dewan Rakyat yang menyokong pindaan Akta Belia.

Pindaan itu mentakrifkan semula maksud belia mengikut usia. Dengan pindaan itu, seseorang yang berusia 18 hingga 30 tahun boleh memegang jawatan dalam pertubuhan belia. Sebelum ini usia maksimum adalah 40 tahun.

Saya juga mengiktiraf peranan bekas Menteri Belia dan Sukan zaman Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yang memulakan debat mengenai hal ini.

Daripada penyelidikan rambang, saya dapati sekitar tahun 2014 beliau telah mencadangkan agar dikemas kini Dasar Belia Negara dengan meminda usia maksimum daripada 40 tahun kepada 25 atau 30.

Pindaan usia ini baik atas beberapa sebab, antaranya bilangan remaja yang semakin ramai hasil pertambahan penduduk dan cadangan menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18.

Namun begitu, pindaan daripada aspek usia sahaja tidak menjamin kesan besar jika tenaga pemuda dan pemudi tidak digembleng selaras dengan cogan kata 'Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara'.

Mula-mula sekali, kita perlu kembali ke zaman silam di mana kita berjaya menggembleng tenaga belia sehingga menjadi satu kuasa yang kuat dan berbisa.

Seingat saya, pada tahun 1950-an hinggalah 1970-an gerakan belia menjadi gerakan akar umbi yang meluas dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Daripada generasi itulah lahir ramai pemimpin politik, sosial dan korporat, khususnya di kalangan orang Melayu. Sebahagian mereka masih cergas hingga hari ini.

Pada waktu itu, boleh dikatakan setiap orang pemuda dan pemudi menjadi ahli kelab belia atau lebih dikenali dengan bahasa Inggerisnya - youth club. Hampir setiap kampung ada kelab belia.

Organisasi akar umbi inilah yang melatih pemuda dan pemudi menjadi aktivis, pemimpin masyarakat dan sukarelawan yang berbudi pekerti serta berhemah.

Mereka dilatih menguruskan mesyuarat, merancang dan melaksanakan projek, mencari dan mengurus sumber kewangan, menulis, berpidato, menari, berlakon dan bersukan.

Maka tidak hairanlah jika ramai daripada mereka berjaya menceburi bidang politik, perniagaan dan kemasyarakatan sehingga menjadi Perdana Menteri dan menteri Kabinet.

Boleh dikatakan semua Perdana Menteri dan ramai anggota Kabinet, menteri besar dan ketua menteri cergas dalam gerakan belia. Almarhum Tunku Abdul Rahman misalnya pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia di antara tahun 1968 hingga 1972.

Dalam era digital sekarang, di mana demografi dan penentu budaya popular berada di tangan Generasi X dan Y, satu unsur yang saya rasa amat penting diutamakan adalah pengajaran akhlak dan nilai-nilai murni.

Ini adalah kerana kita dapati ramai anak muda kita sekarang tidak mempunyai akhlak dan nilai-nilai murni yang mencukupi.

Maaf cakaplah kalau saya kata, 'kekurangajaran' dan ketiadaan nilai-nilai murni begitu jelas sehingga boleh ditonton dan dirasai di mana sahaja termasuk di tempat-tempat ibadat, di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Amat jarang kita mendengar sapaan "assalamualaikum", "selamat pagi","apa khabar", "boleh saya tolong", "terima kasih" dan seumpamanya. Yang kita ada adalah generasi belia tanpa keterampilan budi dan pekerti.

'Kekurangajaran' dan ketiadaan nilai-nilai murni di kalangan mereka menjadi lebih jelas di laman-laman media sosial yang kini menjadi tumpuan mereka. Akibat kekurangan akhlak dan nilai-nilai murni inilah maka media sosial dan arena politik massa kita kini dipenuhi oleh sampah sarap dan najis.

Khusus di kalangan orang Melayu, kita dapati mereka tidak mempamerkan ciri budi yang tinggi dan iman yang mantap. Daripada Melayu kita dapat budi.

Daripada Islam kita dapat iman. Maka sepatutnya seorang Melayu dia berbudi dan beriman – budiman.

Pembentukan akhlak, budi, dan nilai-nilai murni ini wajib dimulakan di rumah kemudian diperkukuhkan melalui sistem pendidikan dan seterusnya dimanfaatkan dalam masyarakat.

Di sinilah terletaknya peranan sokongan persatuan-persatuan belia, sama ada mereka bergerak di kampung, bandar atau institusi-institusi pengajian tinggi.

Saya tidak nampak negara kita ini mempunyai masa hadapan yang cerah jika belia dan remaja tidak disemai dengan akhlak, nilai-nilai murni, motivasi yang tinggi dan kesejagatan.

Untuk tujuan itu, saya amat gembira mendapat maklumat mengatakan Syed Saddiq dan pemikir-pemikir muda Malaysia sedang merangka pelan masa hadapan negara yang diberi jolokan ministry of the future.

Saya sokong penuh dan saya harap mereka belajar daripada ibu, bapa, datuk dan nenek mereka yang berakhlak, bernilai mulia dan berjaya.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara