Penduduk bantah tanah lapang dimajukan

Bantahan penduduk selepas menerima maklumat tanah lapang berhampiran rumah mereka mahu dimajukan untuk projek perumahan.
Bantahan penduduk selepas menerima maklumat tanah lapang berhampiran rumah mereka mahu dimajukan untuk projek perumahan.
A
A
A

GOMBAK - Kelewatan sebuah syarikat pemaju untuk membangunkan projek perumahan atas tanah 'sempit' di Fasa Bukit Permata 2 di sini dipersoalkan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Fasa Bukit Permata, Zamzuri Mahmud berkata, penduduk sepakat menolak pembangunan perumahan itu dan akan menghantar petisyen bantahan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam masa terdekat.

Menurutnya, mereka khuatir jika projek itu diteruskan akan menimbulkan kacau ganggu dan isu keselamatan penduduk.

"Ia susulan tapak tersebut sudah dikelilingi rumah penduduk yang dihuni sejak sepuluh tahun lalu.

"Kami tak nafikan hak pemaju cuma persoalannya kenapa baru sekarang? Sepatutnya dijalankan serentak semasa pembangunan kawasan ini dahulu," katanya selepas mengadakan bantahan bersama penduduk di tapak projek, hari ini.

Zamzuri berkata, pemaju tidak memaklumkan cadangan pembangunan atas tanah lapang itu kepada penduduk.

"Kami hanya tahu mengenai cadangan itu selepas papan iklan penjualan unit dipasang baru-baru ini.

"Jika projek diteruskan banyak isu bakal timbul seperti jalan rosak disebabkan lori keluar masuk dan jenayah pecah rumah dengan kewujudan rumah kongsi oleh pekerja kontrak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tanah lapang yang dicadangkan untuk pembinaan rumah oleh pemaju di Bukit Permata di sini.
Tanah lapang yang dicadangkan untuk pembinaan rumah oleh pemaju di Bukit Permata di sini.

Seorang penduduk, U Gobinath, 49, turut menyuarakan bantahan berhubung cadangan perumahan atas tanah itu.

"Dalam tempoh tiga tahun, banyak benda boleh berlaku sementara menunggu projek siap.

"Tapak projek terlalu terbuka, saya bimbang akan menyebabkan kemalangan terutama anak-anak yang beriadah dekat kawasan perumahan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Christine Lim, 19, mencadangkan tanah lapang itu diberikan kepada penduduk untuk aktiviti riadah atau taman permainan.

"Kalau boleh jangan bina rumah sebaliknya pemaju bangunkan kawasan itu untuk riadah atau gelanggang serba guna kerana taman permainan sedia ada pun terhad.

"Jika projek perumahan diteruskan penduduk setempat akan terkena kesannya termasuk pencemaran udara disebabkan lokasinya terlalu hampir dengan rumah kami," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPS, Ahmad Fauzi Ishak berkata, pihaknya akan menyemak aduan tersebut dan akan memberikan maklum balas dalam masa terdekat.