Sarawak belum jawab tawaran pinjaman RM1b baiki sekolah daif

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Sarawak sehingga kini masih lagi belum memberikan sebarang maklum balas kepada Kerajaan Persekutuan berhubung tawaran pinjaman RM1 bilion yang diperuntukkan untuk projek membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak dengan menetapkan empat mekanisme perundangan, telah pun dijelaskan kepada kerajaan negeri semasa mesyuarat di kementerian itu pada 11 Mac lalu diikuti dengan surat bertarikh 20 Mac lepas.

”Secara dasarnya Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang kerajaan negeri Sarawak sebanyak RM1 bilion untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif yang berada di negeri itu.

“... ia tertakluk kepada empat mekanisme perundangan yang ditetapkan. Pada masa yang sama kerajaan negeri Sarawak masih lagi berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2,375 juta dan sekiranya RM1 billion dibayar balik, maka kerajaan negeri Sarawak masih berhutang sebanyak RM1,375 juta,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan turut menjelaskan bahawa cadangan kerajaan negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaiki sekolah daif itu, sebenarnya melibatkan wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana menggunakan dana yang dipinjamkan kepada kerajaan negeri Sarawak sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ia bermaksud dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Kementerian itu turut menjelaskan terdapat empat mekanisme yang perundangan yang telah ditetapkan iaitu pertama kerajaan negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 billion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

Langkah ini selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kedua, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Ketiga, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.

Keempat, Kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan kerajaan negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih. - Bernama