Beri kesan negatif kepada gerakan belia

Asrullah Affendi
A
A

KUANTAN - Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan menyifatkan tindakan drastik pindaan RUU Akta 668 yang dibentangkan Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Sidang Parlimen baru-baru Ini bakal memberi kesan negatif kepada gerakan belia berpersatuan.

Ketua Penerangannya, Asrullah Affendi Abdullah berkata, Pindaan RUU Akta 688 itu dilihat boleh menyebabkan hampir 65 peratus gerakan belia berpersatuan seluruh negara akan hilang keupayaan menyediakan pemimpin pelapis dan kemungkinan terkubur dengan sendiri sekiranya pindaan itu diluluskan.

Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seharusnya menolak dasar pandangan berpolitik dalam Pindaan RUU 668 itu serta melihat dengan lebih jauh situasi gerakan belia berpersatuan di negara ini sebelum pindaan itu dibuat.

"Ia supaya penyediaan pelbagai pekara melibatkan belia ini diperkemaskan oleh semua pihak.

"Jika dilihat situasi hari ini, untuk memanggil belia di bawah umur 35 tahun bermesyuarat pun agak susah sebab mereka tidak minat berpersatuan berbeza dengan mereka yang usianya 35 tahun ke atas. Inikan pula untuk menyertai program-program yang dianjurkan KBS," katanya.

Asrullah berkata, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan umur belia dari 18 hingga 24 tahun, namun kebanyakkan negara sukar melaksanakannya atas pelbagai faktor.

"Pindaan ini perlu diberikan pengecualian sementara dan tempoh kajian lebih panjang perlu dilaksanakan KBS agar gerakan belia berpersatuan di seluruh negara dapat menyediakan kepimpinan pelapis seperti yang ingin dilaksanakan kementerian.

"Tidak perlu tergesa-gesa kerana kebanyakkan kepimpinan belia di negara ini pun tidak kejar jawatan.Bila sampai waktunya mereka tetap akan lepaskan jawatan yang disandang," katanya.

"Kami yakin pertemuan KBS dan Majlis Belia Malaysia untuk membincangkan tentang pindaan RUU Akta 668 ini akan membuka ruang dan kerjasama lebih baik jika usaha itu tidak dimonopoli melalui pandangan politik," katanya.

Beliau berkata, walaupun ramai kepimpinan belia hari ini masih dibayangi kepimpinan kerajaan sebelum ini namun atas dasar semangat berpersatuan, mereka juga turut akur dan menyokong penuh kepimpinan Menteri Belia Dan Sukan dalam melaksanakan pelbagai pembaharuan demi generasi belia di negara Ini.

"Cuma kita tidak mahu usaha dan kejayaan yang dilakar gerakan belia berpersatuan ini suatu ketika dulu musnah begitu sahaja tanpa pembelaan yang sewajarnya apabila RUU Akta 668 ini dibuat melalui pandangan politik dan kepentingan peribadi," katanya.