Keputusan permohonan Tajuddin batal saman Tony, Anthony didengar 12 Julai

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Julai ini untuk keputusan permohonan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bagi membatalkan saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung dakwaan DAP cuba menghapuskan sistem raja-raja di Malaysia.

Ketika ditemui media, peguam Farhan Haziq Mohamad yang mewakili Anthony dan Tony selaku plaintif memberitahu bahawa Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada plaintif dan defendan yang diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican.

Tajuddin selaku defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 8 Mei lepas atas alasan kata-kata yang diajukannya tidak merujuk kepada jawatan atau profesion yang dijawat oleh plaintif ketika tohmahan lisan itu dibuat.

Tony yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Anthony yang merupakan Ahli Parlimen Seremban memfailkan saman itu terhadap Tajuddin pada 20 Mac lepas berhubung ucapannya di Kampung Jawa pada malam sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lepas.

Tony dan Anthony berkata, Tajuddin dalam ucapannya mendakwa mereka merupakan penganut Kristian yang bersama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga menghapuskan raja-raja Melayu.

Tajuddin juga didakwa mengatakan mereka berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.

Ucapan defendan dilaporkan di laman web berita Malaysiakini pada hari yang sama ucapan itu dibuat dengan tajuk "Tajuddin fires 'Christian DAP' salvo to close BN's Sg Kandis campaign" dikongsikan sebanyak 9,400 kali di alam maya dan dibaca oleh orang awam secara meluas.

Dalam penyataan tuntutan mereka, Anthony dan Tony mendakwa kenyataan Tajuddin menggambarkan mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai menteri dan Ahli Parlimen dan sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk memperjuangkan agenda politik peribadi.

Artikel Berkaitan:

Mereka mereka mendakwa perkataan-perkataan yang diungkapkan defendan adalah satu ucapan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi mereka dalam bidang politik termasuk parti politik yang dianggotai mereka apatah lagi ucapan itu diungkapkan kepada umum semasa kempen pilihan raya kecil itu.

Oleh itu, kedua-dua plaintif menuntut satu injunksi menyekat defendan sama ada ejen-ejennya daripada menerbitkan, menyambung atau menyebabkan penerbitan perkataan-perkataan yang sama dalam apa-apa bentuk, rupa atau media sosial, digital atau sebaliknya.

Mereka juga menuntut injunksi mengarahkan defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dan menerbitkan permohonan maaf tersebut dalam surat khabar berbahasa Melayu termasuk semua platform media sosial milik defendan selain menuntut ganti rugi am untuk libel, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan. - Bernama