Batal kes Muhyiddin guna kedudukan untuk rasuah didengar 11 Julai

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menetapkan 11 Julai depan untuk mendengar permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes yang dihadiri pasukan pembelaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk K Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad.

Pihak pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Grarib.

Dalam prosiding, bekas Perdana Menteri itu tidak hadir ke mahkamah selepas pembelaan menghantar surat dengan memohon pemimpin politik itu dikecualikan kehadiran kerana prosiding hanya membabitkan peringkat pengurusan kes.

Semasa prosiding, Hisyam berkata, pihaknya akan mengemukakan hujahan yang panjang kerana ia membabitkan isu baharu.

“Kami mohon tiga hari untuk prosiding pendengaran kerana ia membabitkan isu lain termasuk empat pertuduhan dikenakan adalah cacat, jadi kami akan mengemukakan hujahan yang banyak," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Jamil berkata, mahkamah menetapkan 11 Julai untuk mendengar permohonan tersebut kerana satu hari sahaja memadai bagi prosiding tersebut.

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Beliau turut memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu selain berhasrat agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah berikutan tiada mana-mana satu pun mendedahkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, permohonan Muhyiddin untuk memindahkan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga menerima wang hasil daripada aktiviti haram dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini, akan didengar di hadapan Hakim K Muniandy pada 10 Julai.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 13 Mac lalu, Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.