Bimbang balak beroperasi di Tanjung Pari

Nasir (dua dari kiri) dan Ghazali (dua dari kanan) menunjukkan permit kolam air masyarakat yang belum disambung.
Nasir (dua dari kiri) dan Ghazali (dua dari kanan) menunjukkan permit kolam air masyarakat yang belum disambung.
A
A
A

BALING - Penduduk Kampung Tanjung Pari dan Kampung Sri Ketengga dalam DUN Bayu bimbang permohonan untuk menyambung permit air masyarakat sejak Mac belum diluluskan hingga kini apabila ia mempunyai kaitan dengan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Rimba Teloi (HSRT).

Pengerusi Air Masyarakat Kolam Sera Ular Tanjung Pari, Ghazali Din berkata, difahamkan penebangan balak akan dijalankan dalam kawasan kolam takungan yang membekalkan air kepada dua kampung tersebut.

Menurutnya, kolam takungan Kampung Tanjung Pari terletak di Lata Sera Ular dalam kompartmen tiga manakala kolam takungan Kampung Sri Ketengga terletak di kompartmen dua.

"Ada ura-ura mengatakan kawasan kompartmen dua dan tiga yang terletaknya dua kolam takungan air masyarakat akan terlibat aktiviti pembalakan.

"Permohonan sambung permit termasuk bayaran RM100 menggunakan wang Pos Malaysia telah dihantar kepada pihak berwajib, tetapi sampai sekarang tiada maklum balas," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Tanjung Pari hari ini.

Katanya, di Kampung Tanjung Pari sahaja, kira-kira 2,000 penduduk menggunakan sumber air masyarakat.

Menurutnya, bekalan itu turut digunakan penduduk Kampung Weng dan Kampung Batu 8.

"100 buah rumah di Tanjung Pari termasuklah balai polis, klinik kesihatan, sekolah dan masjid 100 peratus guna air masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Jika aktiviti pembalakan dijalankan di kompartmen dua dan tiga, ia akan menjejaskan sumber air kami di sini," katanya.

Sementara itu, ADUN Bayu, Abd Nasir Idris berkata, kerajaan negeri diminta menjelaskan status di kawasan terbabit yang dipercayai bakal dijadikan kawasan pembalakan.

Menurutnya, hasil maklumat diterima, terdapat pokok-pokok balak telah ditanda bagi ditebang.

"Jika kawasan itu diluluskan untuk pembalakan, kita minta kerajaan negeri jelaskan adakah ia dibuat secara cuci mangkuk atau berskala.

"Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz pada sidang DUN lalu memberitahu dewan aktiviti pembalakan di HSRT dibatalkan.

"Tetapi apabila ada tanda-tanda pembalakan akan berjalan kita mohon beliau jelaskan keadaan sebenar," katanya.

Tambahnya, isu berkenaan akan dibangkitkan dalam Sidang DUN Ogos depan.