225 kawasan di Pahang berpotensi ada sisa pembuangan toksik

Mohd Sharkar menunjukkan kawasan dikenal pasti berpotensi mempunyai sisa pembuangan toksik di Pahang pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelupusan Buangan Berbahaya hari ini.
Mohd Sharkar menunjukkan kawasan dikenal pasti berpotensi mempunyai sisa pembuangan toksik di Pahang pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelupusan Buangan Berbahaya hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 225 kawasan di Pahang dikenal pasti berpotensi mempunyai sisa pembuangan toksik berdasarkan maklumat menerusi pemantauan teknologi penderiaan jauh atau 'remote sensing'.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, Kuantan mencatatkan kawasan paling tinggi iaitu 69 lokasi diikuti Jerantut (67), Cameron Highlands (28), Temerloh (26), Bentong (7) Bera dan Pekan (6), Raub (5), Lipis dan Rompin (4) manakala Maran tiga lokasi.

"Kebarangkalian ini belum dikenal pasti sama ada melibatkan kilang haram atau sebaliknya. Indikator ini diperoleh menerusi maklumat dari teknologi 'remote sensing'.

"Kita tidak mempunyai gambaran sebenar berhubung permasalahan ini namun melalui penggunaan teknologi 'remote sensing' yang dijalankan menunjukkan seolah-olah ada pembuangan sisa toksik di kawasan tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelupusan Buangan Berbahaya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua kawasan itu dipantau dari semasa ke semasa dan operasi bersepadu juga akan dilakukan Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya Pahang selain melibatkan semua jabatan berkaitan di peringkat negeri atau Persekutuan

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, Jawatankuasa Pelupusan Buangan Berbahaya diluluskan penubuhannya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Mei lalu.

"Penubuhan jawatankuasa ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil jika berlaku sebarang kejadian melibatkan pembuangan sisa berbahaya terurama dalam industri perkilangan," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan mengadakan operasi bersepadu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Artikel Berkaitan: